USM BERSAMA 7 PPT LAIN METERAI MOU DENGAN MQA, PERKASAKAN AGENDA PSH MELALUI PROGRAM RINTIS SAMC
PUTRAJAYA, 2 Mei 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) bersama tujuh Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) lain telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada bulan lalu untuk Program Rintis Stand-alone Micro-credentials (SAMC).
Kredit foto: Kementerian Pengajian Tinggi [https://www.mohe.gov.my/hebahan/sorotan-aktiviti/majlis-mou-program-rintis-stand-alone-micro-credentials-samc]
Perjanjian Persefahaman tersebut yang dimeterai pada 12 April 2022 di Kementerian Pengajian Tinggi di sini merupakan salah satu usaha untuk memperkasakan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dengan tujuan memberikan penilaian verifikasi terhadap reka bentuk, penyampaian dan tahap kursus SAMC yang semakin banyak ditawarkan berdasarkan kepada dasar dan prinsip utama draf SAMC.
MoU yang terjalin ini juga adalah antara usaha MQA membangunkan Garis Panduan Amalan Baik: Stand-alone Micro-credentials dengan menyokong inisiatif kementerian Micro-Credential Based Learning (M.CREDIBLE) dan kursus micro-credentials yang ditawarkan IPT tempatan, khususnya dalam aspek pengukuhan kualiti serta pengiktirafan.
Model pembelajaran fleksibel seperti ini akan memberi banyak manfaat kepada segmen besar komuniti pelajar sepanjang hayat, yang mana Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) USM adalah komponen penting dalam memajukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di USM.
Melalui CDAE yang diterajui Profesor Dr. Abd Karim Alias, USM telah mengambil langkah kearah memajukan persekitaran pendidikan tinggi dalam universiti dan mencapai matlamat utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadikan negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi.
Inisiatif micro-credentials di USM adalah di bawah kelolaan CDAE dengan kerjasama OpenLearning Global (M) Sdn. Bhd. telah mewujudkan platform pembelajaran berasaskan micro-credentials yang membolehkan mana-mana individu memperoleh pengiktirafan untuk kemahiran dan kecekapan yang telah mereka pelajari sepanjang kerjaya dan kehidupan mereka.
Pada majlis tersebut, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan menandatangani dokumen perjanjian persefahaman bagi pihak USM manakala MQA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato' Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Turut hadir sebagai saksi di majlis penandatanganan MoU ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Noraini menyifatkan MoU itu sebagai satu kerjasama yang bermanfaat untuk menghasilkan produk pendidikan yang membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan, menyokong edutourism dan menawarkan akses pembelajaran dalam talian kepada pelajar di luar negara.
“Terkini, negara kita menduduki tangga kedua selepas Australia dalam program micro-credential dan ini menunjukkan prestasi yang sangat baik untuk dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Lapan buah PPT yang terpilih dalam program rintis micro-credential itu dipilih oleh MQA berdasarkan kepada bilangan micro-credentials yang telah dihasilkan.
Selain USM, tujuh PPT berkenaan ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Management and Science University (MSU) serta institusi di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Text: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
- Created on .
- Hits: 517