NAIB CANSELOR UCAP SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2022
USM, PULAU PINANG, 2 Mei 2022 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan mewakili kepimpinan tertinggi universiti mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 2022 kepada seluruh warga USM dan semua alumni serta pemegang-pemegang taruh utama.
“Marilah sama-sama kita raikan sambutan Aidilfitri kali ini dengan penuh kesyukuran, kesederhanaan dan menggunakan sepenuhnya sambutan ini untuk mengukuhkan keakraban yang terpisah selama ini akibat pandemik COVID-19,” kata Faisal Rafiq.
Katanya lagi, apa pun yang kita telah harungi selama ini, jangan lupa kepada mereka yang bernasib malang dan ditimpa musibah terutamanya rakan-rakan dan seluruh umat manusia yang berhadapan krisis kemanusiaan, peperangan, penindasan dan bencana lainnya serta mengambil iktibar dan bersyukur dengan segala nikmat yang kita kecapi selama ini.
“Jangan ambil mudah dengan apa yang ada dan terlibat dalam aktiviti yang mengancam kesejahteraan masyarakat, agama dan negara sebaliknya berusaha gigih untuk memelihara dan memberikan sumbangan untuk kelangsungannya,” tambahnya lagi.
Naib Canselor juga mengharapkan Aidilfitri kali ini akan membawa lebih lagi kesejahteraan, kebahagiaan dan kecemerlangan kepada semua dan Universiti yang dicintai ini.
“Saya mengharapkan kita semua akan lalui bersama-sama masa depan ini sebagai satu pasukan yang kuat dalam menghadapi segala cabaran dan merealisasikan segala amanah dan tanggungjawab yang ada untuk menaikkan lagi nama universiti ini ke satu tahap yang lebih dihormati dan disegani,” kata Faisal Rafiq lagi.
Umat Islam seluruh negara meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari ini, 2 Mei 2022 setelah hampir 2 tahun tidak dapat meraikannya bersama sanak-saudara akibat pandemik COVID-19.
- Created on .
- Hits: 771