USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JIMAT RM178,000 BIL AIR SETENGAH TAHUN

usmmopq

PULAU PINANG, 12 Julai 2013 - Projek penjimatan air Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBA) berjaya menjimatkan sejumlah RM178,000 bagi tempoh setengah tahun pertama 2013.

Hal ini dinyatakan Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman dalam sidang media selepas majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara USM dan PBA.

Projek penjimatan ini ada satu usaha untuk kelestarian bekalan air sehingga tahun 2050 bermula di Desasiswa Restu, Saujana dan Tekun (RST), yang pertama seumpamanya di Malaysia.

"Sejak 2011, penjimatan ini adalah hasil daripada penukaran tarif air iaitu dari tarif 3 (perniagaan) kepada tarif 1 (domestik). USM akan mengemaskini tarif lebih 400 bangunan di semua kampus selain 6 bangunan di RST berdasarkan kriteria yang diberikan oleh PBA," kata Omar.

Faedah projek ini bukan sahaja dari segi penjimatan tarif yang diperolehi tetapi pada masa yang sama jumlah yang dijimatkan dapat disalurkan kepada projek-projek pendidikan yang boleh mendatangkan manfaat kepada universiti.

"Masalah air bukan sahaja harus dilihat dari segi teknologi dan caranya sahaja, tetapi juga harus menimbulkan kesedaran dalam kalangan pengguna bahawa setiap seorang dari kita yang menggunakannya adalah penyumbang kepada kos  bekalan air itu sendiri dan USM mensasarkan untuk menjimatkan 40 peratus  daripada penggunaan pada masa ini apabila tamat projek," tambah Omar.

Pengurus Besar PBA, Ir. Jaseni Maidinsa, yang juga alumni USM berharap dengan kerjasama ini kelak akan mewujudkan satu kolaborasi dalam meneroka peluang untuk memajukan, menyokong dan memperkukuhkan pembangunan penyelidikan mengenai Pengurusan Permintaan Air atau Water Demand Management (WDM).

usmmouq

"Melalui projek perintis yang sedang dilaksanakan di beberapa RST sekarang ini, PBA berharap ia juga dapat diaplikasikan di seluruh kampus induk USM pada masa akan datang dalam memupuk budaya jimat air dalam kalangan siswa-siswi yang kelak akan menjadi pemimpin masyarakat," kata Jaseni.

"Adalah diharap dengan perjanjian persefahaman ini bakal mencorak satu lagi lembaran baru dalam usaha kita untuk melahirkan generasi yang jimat air, sekaligus membudayakan penjimatan air dalam diri mereka sehari-hari," tambah Jaseni lagi.

Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Profesor Madya Dr. Hajar Abdul Rahim, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan) PPIK yang juga ketua projek ini, Profesor Dr. Chan Ngai Weng dan Pengarah Bahagian Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Badaruddin Mohamed serta Pengurus Hal Ehwal Korporat PBA, Ir. K. Jeyabalan. - Teks: Siti Faizah Abdul Halim/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa  

  • Created on .
  • Hits: 2524

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024