USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAJLIS MAHABBAH PLATFORM TERBAIK SANTUNI WARGA KAMPUS DAN KARIAH - NAIB CANSELOR USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 April 2022 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hari ini mengambil peluang menyantuni warga kampus dan kariah Masjid Mukim Kampus Kesihatan dalam Majlis Mahabbah sempena lawatan kerja selama dua hari ke Kampus Kesihatan. 

Dalam majlis yang dianjurkan oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada warga kampus, pelajar, golongan asnaf dalam kariah serta peneman pesakit. 
11B7AEA6 CD73 43B2 93BD F2ED3B44C85F

Naib Canselor dalam ucapannya berkata, pada tahun 2021, ramai dalam kalangan warga kampus yang menyempurnakan bayaran zakat pendapatan melalui USM sehingga mampu mencapai jumlah kutipan melebihi RM2.3 juta.  

"Jumlah itu membolehkan kita mendapat pulangan sebanyak 10% sebagai bayaran upah amil zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK). 

"Dengan pulangan tersebut, Jawatankuasa Pengurusan Tabung Zakat Kampus Kesihatan melaksanakan aktiviti kebajikan bagi menyantuni golongan terkebawah dengan pelbagai insentif serta bantuan yang disediakan oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan," katanya. 

Beliau turut menyeru warga Kampus Kesihatan yang berkemampuan untuk terus menzahirkan nilai kemanusiaan dengan melakukan pembayaran zakat melalui USM supaya manfaat dan kebaikannya dapat dirasai bukan sahaja oleh warga USM malahan komuniti setempat serta masyarakat dengan lebih meluas dan syumul. 
C3B1A083 4E28 4824 810A 6EDFE467CC4E

Sebanyak tujuh kategori sumbangan disampaikan iaitu Bantuan Sara Hidup yang merupakan inisiatif Pusat Islam dalam menyantuni pelajar yang memerlukan terutama golongan B40 dan diagihkan setiap semester sebanyak RM300 setiap penerima.  

Bantuan Awal Persekolahan pula disediakan kepada warga staf yang mempunyai anak masih bersekolah sama ada rendah atau menengah. Bagi bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), ianya disediakan kepada anak warga staf yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT. 
029B5DB9 20B6 475C 8FBB 65C98E6DE8A0

Sementara itu, Gerobok Syurga adalah salah satu pendekatan yang dilaksanakan oleh Pusat Islam untuk pelajar-pelajar B40 dengan menyediakan makan tengah hari secara percuma. 

Selain dari itu, Pusat Islam juga menyediakan inisiatif kepada peneman dan pesakit Hospital USM dengan menyediakan bantuan berbentuk tunai serta kupon makan percuma melalui Bantuan Cakna Peneman Pesakit di samping Kit Maidaturrahman iaitu kit bantuan makanan kering kepada penerima dalam kalangan staf, pelajar dan komuniti secara berkala.

Setiap kategori sumbangan diwakili oleh seorang penerima pada majlis tersebut. 
BBBE6478 7C34 4885 8C16 3C8E91D52071

Sempena 10 malam terakhir Ramadan, Faisal Rafiq turut mengingatkan seluruh warga kampus untuk meningkatkan amalan serta mengejar keberkatan malam Lailatul Qadar. 

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 339

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024