USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JADUAL PADAT NAIB CANSELOR DALAM LAWATAN DUA HARI KE KAMPUS KESIHATAN

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 April 2022 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan mempunyai jadual yang padat dalam lawatan kerja dua hari di Kampus Kesihatan Kubang Kerian mulai hari ini.

Setibanya di Kampus Kesihatan, beliau mengadakan kunjungan ke Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), bertemu Dekan dan warga pusat pengajian, melawat Klinik Patologi Pertuturan, Stor Kimia dan Makmal Analitikal.

Beliau kemudiannya mengadakan perjumpaan bersama Dekan & Exco Dekan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) yang turut membentangkan Pelan Strategik PPSP Tahun 2022-2024.

Pada petangnya, Naib Canselor akan menghadiri Majlis Mahabbah Warga Kampus Kesihatan USM Bersama Naib Canselor yang mana beliau akan menyerahkan bantuan-bantuan kepada lebih 100 orang warga kampus dan pesakit di Hospital USM.

Antara bantuan yang diberi ialah Bantuan Sara Hidup, Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Kemasukan IPT, Gerobok Syurga yang menyediakan makanan untuk pelajar di desasiswa dan Kit Maidaturrahman.

Turut diadakan ialah Majlis Khatam Al-Qur’an sebelum berbuka puasa dan mengerjakan solat tarawih bersama warga Kampus Kesihatan.

Esoknya, 25 April 2022, Naib Canselor akan melakukan upacara pecah tanah Projek Padang Sintetik berharga RM2.5 juta di Kompleks Sukan, diikuti dengan perjumpaan bersama Pengarah Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Haiwan (ARASC) di Bilik Operasi Pengarah Kampus.

Beliau kemudiannya akan bersama-sama Pengurusan Tertinggi USM mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Pengurusan serta Ketua-ketua Unit Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan meninjau sekitar fasiliti pengajaran serta penyelidikan terpilih di PPSG.  

Seterusnya  Naib Canselor akan menghadiri perjumpaan bersama Penyelaras Kluster Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk mendengar taklimat perkembangan terkini serta cadangan perasmian Pusat Sehenti OKU USM-MAIK dan pembentangan perancangan awal untuk penubuhan Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan OKU,  pembentangan hala tuju penyelidikan serta penawaran program akademik yang berkaitan OKU serta pembentangan cadangan penubuhan USM Early Intervention Center for Autisme (UNEIC) yang merupakan kerjasama USM-Bank Muamalat-MAIK.  

Sebelum bertolak balik ke Pulau Pinang, beliau akan mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan pengurusan Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Kampus Kesihatan serta meninjau fasiliti yang disediakan di Kampus Kesihatan.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 302

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024