USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM WAKILI NEGARA KE PERTANDINGAN ROKET DI AMERIKA SYARIKAT

Pasukan Wau Rocketry dari USM bakal menjadi wakil tunggal Malaysia ke kejohanan Spaceport America Cup 2022 di Las Cruces, New Mexico pada 21 - 25 Jun 2022.

6AB44550 CC0C 44E3 942D CF4A1B424896

NIBONG TEBAL, 18 April 2022 – Pasukan roket dari Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), WAU Rocketry merupakan pasukan pertama Malaysia yang telah layak dipilih untuk melancarkan roket dalam pertandingan Spaceport America Cup 2022 pada 21-25 Jun 2022 dianjurkan oleh The Experimental Sounding Rocket Association (ESRA) (https://spaceportamericacup.com/)

Pertandingan Spaceport America Cup merupakan persidangan dan pertandingan pelancaran roket berkuasa tinggi antara universiti yang terbesar di dunia.

Hanya tiga negara dari Asia Tenggara mengambil bahagian iaitu Thailand, Singapura dan Malaysia yang diwakili WAU Rocketry USM sekali gus menjadi wakil pertama dan satu-satunya dari negara ini yang menyertai pertandingan tersebut.

Pasukan USM ini diketuai oleh Vanmitha Athimoolam, pelajar tahun 3 Kejuruteraan Aeroangkasa bersama 11 lagi rakan-rakannya iaitu 8 orang pelajar Kejuruteraan Aeroangkasa, 2 orang pelajar Kejuruteraan Kimia dan seorang pelajar Kejuruteraan Mekanikal yang dibimbing oleh 2 orang pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (Dr. Norilmi Amilia Ismail dan Dr. Chang Wei Shyang) sebagai penasihat pasukan dan 2 orang mentor (Julian Chee Yie Jian dan Ahmad Tamimi Ahmad Termizi) yang berpengalaman dalam pembinaan roket.

Menurut Norilmi, beliau berbangga dengan kemajuan pasukan setakat ini meskipun mereka bermula dengan pengetahuan yang agak terhad dalam reka bentuk dan pembuatan roket.

Visi utama pasukan WAU Rocketry adalah untuk menggagaskan pembangunan industri aeroangkasa khususnya roket berkuasa tinggi di Malaysia dengan memberi pendedahan kepada para mahasiswa di Malaysia mengenai bidang roket serta menarik minat para mahasiswa tempatan untuk turut menyertai Spaceport America Cup pada masa hadapan.

Pada masa ini pasukan WAU Rocketry bertungkus lumus dalam menyiapkan roket berkuasa tinggi pertama mereka yang diberi nama Roket HEBAT untuk pelancaran pertama pada pertandingan tersebut di Las Cruces, New Mexico, pada Jun hadapan bagi kategori 10,000 feet Commercial of The Shelf.

Kami di Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC) USM mengucapkan tahniah di atas pencapaian mewakili negara dalam pertandingan berprestij ini dan semoga pasukan WAU Rocketry USM mampu melakukan yang terbaik, seterusnya peroleh kemenangan yang diimpikan.

Sumber: https://news.usm.my/index.php/english-news/7700-thank-you-mab-wau-rocketry-is-heading-to-the-usa

  • Created on .
  • Hits: 365

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024