USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BJIM USM BERSAMA WATER WATCH PENANG LANCARKAN PROJEK PENUAIAN AIR HUJAN

PULAU PINANG, 29 April 2022 – Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Sains Malaysia (BJIM-USM) dengan kerjasama Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang (Water Watch Penang-WWP) baru-baru ini telah melancarkan projek penuaian air hujan (rainwater harvesting) di sekolah SJK (T) Bayan Lepas, dengan tujuan untuk memberi kesedaran kepada guru, murid-murid serta masyarakat mengenai kepentingan usaha penjimatan air di Pulau Pinang.

054C00CD 6107 4131 8F60 505DBF4C06B3

Kolaborasi bersama Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang, SJK (T) Bayan Lepas dan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk projek kelestarian sekolah.

Hal ini dikongsi oleh Presiden WWP, Profesor Dr. Chan Ngai Weng berkaitan projek penuaian air hujan di sekolah SJK (T) Bayan Lepas yang merupakan salah satu daripada 100 sekolah di Pulau Pinang yang dipilih untuk menyertai program WWP bagi tujuan penjimatan air.

Ini merupakan antara rancangan WWP untuk melancarkan projek penuaian air hujan dan turut bersama-sama menyertai usaha penjimatan air, yang mana akan menjadikan sekolah itu sebagai salah satu sekolah lestari dengan mempamerkan kaedah penjimatan air yang berhemat.

“Sekolah ini adalah salah sebuah yang terpilih dalam program ‘Negalitres untuk Sekolah’, iaitu projek antarabangsa yang mana kita akan memasang dan menukar semua paip dan semua peralatan air kepada peralatan penjimatan air untuk mengurangkan pembaziran air. Ini akan membantu kerajaan negeri untuk memastikan sumber air kekal selamat, lestari dan berterusan,” kata Chan.

Beliau juga menegaskan betapa pentingnya penjimatan air di sekolah dan untuk menjadikan sekolah lestari, penjimatan air merupakan peranan yang amat penting.

C71C9C7E 675B 454B 90A2 023B145F9C99

Tangki utama yang dilengkapi QR Code untuk membolehkan guru dan pelajar melaporkan penggunaan air daripada sistem penuaian air hujan kepada pasukan penyelidik USM.

Tambahnya, program tersebut dapat menolong sesebuah sekolah dalam usaha penjimatan bil air yang akan mencecah sehingga RM200 setiap bulan.

Di samping itu, Pengarah Projek, Dr. Tan Mou Leong dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM berkata, sistem penuaian air hujan di sekolah itu merupakan antara beberapa unit yang terdapat di sekolah-sekolah terpilih di Pulau Pinang yang mempunyai sistem penuaian air hujan.

“Kami berharap sistem ini dapat menjimatkan penggunaan air terawat serta meningkatkan kesedaran guru, murid-murid dan orang ramai mengenai kepentingan tersebut.

“Kami telah memasang empat tangki air dan sistem ini tidak menggunakan sebarang pam sebaliknya menggunakan konsep graviti untuk penyaluran air, dan sistem ini mempunyai meter untuk mengira jumlah air hujan yang telah digunakan,” ujar Tan.

AB60C8BC 3661 4384 B717 674A2B9161D8

Pasukan Penyelidik Projek Penuaian Air Hujan USM bersama Sangga Sinayah, Guru Besar SJK (T) Bayan Lepas.

Guru Besar sekolah tersebut, Sangga Sinayah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berkata penuaian air hujan merupakan projek yang paling sesuai di sekolah itu.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut adalah ahli-ahli Penang Green Council yang kerap kali terlibat dalam menjalankan inisiatif hijau di sekolah-sekolah di Pulau Pinang.

  • Created on .
  • Hits: 705

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024