PELAJAR USM TERPILIH KE VIETNAM BAGI PROGRAM SUKARELAWAN
PULAU PINANG, 11 Julai 2013 – Yap Ken Vun, pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia telah terpilih untuk mengikuti program Green Summer Volunteer di Vietnam.
Yap, pelajar jurusan ekonomi adalah antara empat pelajar dari seluruh negara terpilih untuk program kali ini. Pelajar lain yang terpilih ialah Mohd Syafiq Md Khairuddin, dari Universiti Malaysia Terengganu, Nur Fatin Anis Mohd Zuber, dan Nur Fatihah Arifin dari Univeristi Malaysia Sarawak.
“Saya berasa amat teruja kerana terpilih antara empat yang terbaik dan ini adalah satu cabaran kepada diri saya kerana akan menghadapi bulan Ramadhan dan beraya di sana,” kata beliau semasa dihubungi.
“Program ini akan menanamkan sikap sukarelawan di kalangan diri para pelajar yang memfokuskan kepada bidang pembelajara Bahasa Inggeris, Agropertanian dan juga kesihatan awam,” tambah Yap yang juga tokoh siswa khidmat masyarakat.
Program ini adalah anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan dipengerusikan oleh Dato’ Zuraidah Atan yang juga Ahli Lembaga Gabenor USM.
“Saya mewakili YSS ingin memaklumkan bahawa pemilihan terkahir pelajar yang akan mengikuti program ini telah dibuat. Program ini akan berlangsung mulai 13 Julai hingga 15 Ogos 2013 dengan kerjasama Ho Chi Minh City Youth Union (HCMCYU),” kata Zuraidah.
Kumpulan kali ini akan bekerjasama dengan Vietnamese Student Volunteers dari Foreign Trade University, HCMC University of Agriculture and Forestry dan HCMC University of Pedagogy.
Program sebegini diadakan untuk pelajar menimba pengalaman dalam penganjuran aktiviti sukarela serta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Sumbangan YSS
- Created on .
- Hits: 1587