USM TEMPAT KEEMPAT DUNIA RANKING KELESTARIAN THE GIR
Universiti Sains Malaysia (USM) mencapai hasrat menjadi universiti memimpin kelestarian seperti yang dihasratkan ketika dipilih menjalani Program Pemajuan untuk Kecemerlangan (APEX) apabila mencapai tempat keempat dunia ranking kelestarian global Time Higher Education (THE Global Impact Ranking) 2022.
THE GIR mengukur sumbangan institusi dalam pembangunan komuniti yang lestari termasuk dalam hubungan dengan industri serta usaha mencapai semua matlamat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam Sustainable Development Goals (SDG) menjelang tahun 2030.
Sebanyak 1,406 institusi pengajian tinggi mengambil bahagian dalam pengukuran ranking berasaskan 17 SDG.
Ketika dipilih menjalani Program APEX, USM meletakkan hasrat Mentransformasi Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok selaras dengan SDG Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Dalam senarai terbaru yang dikeluarkan oleh THE GIR itu, USM menduduki tempat keempat dunia berbanding dengan kedudukan ke-39 pada tahun 2021.
Di samping menunjukkan peningkatan skor dalam semua 17 SDG, kejayaan terbaik USM ialah dalam empat bidang utama SDG iaitu SDG 5, kesaksamaan gender (Gender Equality) yang menunjukkan antaranya kejayaan USM melaksanakan usaha penyelidikan gender, peratusan ahli akademik, peratusan siswazah wanita dan pengukuran kemajuan wanita.
Selain dari itu USM juga cemerlang dalam SDG 7, "Affordable and Clean Energy" yang menunjukkan peranan USM dalam kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan peranannya dalam komuniti.
USM turut mendapat skor 96.4 untuk SDG 16 "Peace, Justice and Strong Institutions' yang mengiktiraf usahanya selama ini dalam penyelidikan, tadbir urus, hubungan dengan pihak berkuasa dan penglibatan pelajar.
Malah USM juga mendapat skor penuh dalam SDG 17 "Partnership for the Goals” yang merupakan SDG wajib dalam pengiraan THE GIR menunjukkan hubungan akrab universiti dengan pelbagai pihak dan peringkat termasuk komuniti dan industri untuk mencapai matlamatnya. Ini juga meliputi pembudayaan kelestarian di dalam kalangan warga universiti.
Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin menzahirkan kesyukuran dan berbangga dengan pencapaian ini.
"Ini adalah pengiktirafan tertinggi yang menunjukkan USM berupaya menjadi pemimpin dunia dalam usaha kelestarian terutamanya untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat sejagat apatah lagi di negara ini,"
"Hal ini misalnya juga dapat dilihat melalui pengiktirafan USM dalam mencapai SDG 1 iaitu No Poverty dan SDG 2 Zero Hunger yang menunjukkan pelbagai aspek kebajikan yang diusahakan selama ini dalam membantu pelajar, staf mahu pun masyarakat termasuk membantu kumpulan miskin dan terkebawah," kata beliau.
Tambahnya, ranking ini sangat bermakna kerana pengukurannya adalah terhadap sumbangan universiti kepada masyarakat dan negara yang sememangnya menjadi peranan utama yang digalas oleh sesebuah institusi pengajian tinggi.
"Kita akan terus memastikan universiti sentiasa memimpin dalam usaha ini apatah lagi dengan pengiktirafan dan pencapaian cemerlang ini," tegas beliau lagi.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan pula berkata, kejayaan ini adalah pengiktirafan tinggi sesuai dengan hasrat USM menjadi pemimpin kelestarian dunia dari aspirasi APEX.
"Pelbagai usaha dibuat selama ini dan dipantau secara berterusan untuk memastikan kelestarian menjadi budaya kerja warga kampus."
"Malah USM menyediakan pelbagai prasarana dan dasar untuk menguruskan usaha ini," jelas beliau.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha ini sehingga USM berupaya mendapat pengiktirafan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim pula menjelaskan, kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif dari pelbagai pihak yang membuahkan hasil dengan mengutip data yang banyak terdapat dalam kampus berkaitan kelestarian dan impaknya kepada masyarakat.
"USM juga menubuhkan Majlis Kelestarian Universiti yang menyediakan garis panduan dan pemantauan terhadap usaha-usaha yang dibuat oleh universiti terutamanya peranan Pusat Kajian Kelestarian Global yang menyelaras dan mendokumentasi data-data yang berkaitan," kata Md. Roslan.
Tegas beliau, hal ini juga menunjukkan keseriusan universiti dalam memastikan institusi pengajian tinggi memainkan peranan sewajarnya dalam proses pembangunan masyarakat dan negara selain dari menjaga kualiti akademiknya.
- Created on .
- Hits: 1184