200 PELAJAR PUSAT ISLAM DIRAIKAN DI MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN
USM PULAU PINANG, 16 April 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Sektor Pendidikan dan Kesejahteraan Keluarga Pusat Islam hari ini telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Pusat Islam meraikan 200 pelajar dan juga staf Pusat Islam.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar yang sebelum ini dikenali Majlis Khatam Al-Quran dan Hari Kecemerlangan Pelajar Unit Pendidikan dianjurkan setiap tahun adalah untuk meraikan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan di Tadika Islam dan KAFA Integrasi Darul Quran Pusat Islam USM.
Berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda satu dunia, majlis anugerah ini tidak dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar pada tahun ini dijenamakan semula dengan turut melibatkan pelajar dari Kampus Kejuruteraan bagi anugerah pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan pelajar Tadika Islam yang telah tamat belajar bagi tahun 2021 dan 2022, serta meraikan guru-guru dan pengasuh Sektor Pendidikan dan Kesejahteraan Keluarga yang telah menamatkan perkhidmatan di Pusat Islam.
Pada majlis berkenaan, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan merasmikan majlis tersebut dan menyerahkan bantuan khas berbentuk mock cheque kepada Sektor Pendidikan dan Kesejahteraan Keluarga Pusat Islam USM sebanyak RM100,000, sumbangan dari pihak USM bagi pembinaan dua buah kelas KAFA At Toubb@Pusat Islam.
“Saya berdoa semoga badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, sektor korporat mahupun individu dialu-alukan dan turut menyumbang serta terlibat membangunkan pendidikan awal kanak-kanak,” kata Faisal Rafiq.
Faisal Rafiq berharap agar sumbangan tersebut dapat membantu menaikkan kegemilangan pendidikan anak-anak tersebut dan meningkatkan ganjaran hasanah di sisi Allah S.W.T.
Sementara itu, Ketua Penolong Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP), Ustaz Faizal Ibrahim, selaku wakil Pengarah JAIPP, Dato’ Mohd Zakuan Haji Zakaria berkata, inisiatif penubuhan KAFA adalah sangat penting dalam agenda utama kerajaan dalam memastikan generasi umat Islam untuk mengenal dan memahami konsep kitab Al-Quran dan fardhu ain.
“Bagi pihak JAIPP, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan menyanjung pihak USM kerana memberikan komitmen yang tinggi dengan usaha melatih dan memberikan didikan awal kepada pelajar dari segi pencapaian di peringkat KAFA USM,” tambah Mohd Zakuan.
Timbalan Pengarah merangkap Pengerusi KAFA Integrasi Darul Quran Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari pula berkata, ini merupakan satu usaha yang amat baik di bulan Ramadhan dengan mengambil keberkatan meraikan jasa-jasa para pendidik dan ibu bapa pelajar.
Turut diraikan di majlis yang sama, Pusat Pembangunan Alumni USM dan Persatuan Alumni USM sebagai rakan kongsi yang perlu disantuni terutama dari segi bantuan sumbangan dan tajaan aktiviti Ramadhan.
Turut hadir ke majlis adalah Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim serta pegawai-pegawai utama universiti dan pegawai-pegawai utama JAIPP.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 631