USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, JMNPP GABUNG KEPAKARAN PERKASAKAN PENERBITAN ILMIAH

USM, PULAU PINANG, 7 April 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (JMNPP) menjalinkan kerjasama dalam bidang penerbitan.

5CFDB44E FCD2 4C70 A100 CCF853B459B8
Bercakap di majlis perjanjian di Bilik Persidangan Canselori (CCR), Bangunan Canselori 1 di sini, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, kombinasi kepakaran yang dimiliki oleh USM dan JMNPP mampu memperkasakan penerbitan ilmiah dan khazanah ilmu Islam, sekaligus memartabatkan wacana ilmu, selari dengan falsafah iqra’ yang dituntut oleh Allah SWT.

“USM juga telah memperkasakan dasar dan strategi penerbitan untuk memastikan proses penerbitan buku dapat dilakukan dengan lebih pantas, efektif dan berdaya saing dalam industri perbukuan.”

“Penubuhan Unit Penerbitan Popular (UPP) di Penerbit USM adalah kesungguhan dan komitmen USM untuk menghasilkan buku yang berkualiti, berdaya saing dan kekal sebagai peneraju dalam kalangan penerbit di institusi pengajian tinggi di Malaysia,” jelas Faisal Rafiq.

Tambah beliau, kerjasama penerbitan dengan JMNPP adalah langkah proaktif USM untuk memastikan matlamat dan cabaran ini dapat ditangani bersama dan adalah penting untuk memastikan agar ekosistem penerbitan yang diamalkan mampu mendepani cabaran dalam industri buku pada masa hadapan, termasuk dalam bentuk digital dan jualan secara dalam talian, serta strategi pemasaran yang membabitkan rangkaian pengedar di dalam dan di luar negara termasuk rakan-rakan e-dagang.

Sementara itu, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, kerjasama strategik sebegini amat baik bagi memanfaatkan kepakaran kedua-dua belah pihak dalam membudayakan ilmu dan khidmat kepada masyarakat.

“Kerjasama yang dimeterai merupakan antara usaha untuk mendidik masyarakat memahami agama dan hukum-hakam syarak, medium penerbitan melalui cetakan buku dan risalah yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” kata Wan Salim.

E952D92C 8476 4226 8BEB DF33061D3A2E

Wan Salim turut menambah selain kualiti bahan ilmiah yang hendak disampaikan, bentuk penyampaian juga hendaklah menarik minat pelbagai golongan agar wujud nilai ‘wow’ yang menjadikan mereka ingin tahu dan mendorong mereka untuk membaca serta mendalami ilmu dan maklumat yang hendak disampaikan.

“Pihak kami mengharapkan kepakaran dalam bidang reka bentuk, susun atur dan gaya persembahan buku yang dimiliki pihak Penerbit USM dapat memberikan nilai tambahan kepada hasil penulisan yang diterbitkan,” tambah beliau.

Turut hadir ialah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibul Fadhilah Tuan Haji Mohd Yusof Bakar; Pengarah Penerbit USM, Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainon, serta pegawai-pegawai utama JMNPP dan pegawai-pegawai utama USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 421

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024