BEKERJA DARI RUMAH PERLU INTEGRITI, AKAUNTABILITI TINGGI DAN KEPERCAYAAN TERHADAP WARGA
USM PULAU PINANG, 20 April 2022 – Universiti berpandangan bekerja dari rumah atau Work From Home (WFH) yang dilaksanakan sepanjang pandemik COVID-19 tidak menjejaskan produktiviti warganya dan memberi faedah kepada banyak pihak.
"Mungkin terdapat segelintir kecil yang menyalahgunakan kemudahan yang diberi, tetapi lebih 90% menunjukkan prestasi yang tinggi," kata Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dalam Majlis Perjumpaan dengan warga USM di DTSP hari ini.
Kira-kira 700 orang hadir secara bersemuka dan lebih 7,000 orang mengikutinya melalui media sosial live.
Tambahnya, USM telah pun melaksanakan konsep kerja dari rumah ini sejak sebelum pandemik COVID-19 lagi dan mendapati berupaya membantu mereka yang perlu fleksibel dan mempunyai masalah.
"Mereka yang menghadapi masalah tertentu bolehlah berbincang dengan ketua jabatan untuk bekerja dari rumah mengikut tempoh yang dipersetujui bersama tanpa menjejaskan prestasi dan hasil yang diharapkan," tambah beliau lagi.
Tegas Naib Canselor, pelaksanaan kaedah kerja dari rumah adalah berlandaskan kepercayaan sesama warga, sikap bertanggungjawab dan berakauntabiliti tinggi dalam memastikan kejayaan pelaksanaannya.
"Hanya dengan kepercayaan dan integriti diri, berupaya memastikan seseorang itu dapat melaksanakan tugas dengan berkesan tanpa mengira di mana berada, apatah lagi melalui sistem merekod kehadiran secara dalam talian Sistem Kehadiran Kerja Fleksi (SKKF) yang dilaksanakan USM," kata Naib Canselor.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 704