USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TERUBUK MASIN, MADU KELULUT DAN GULA APONG KE JEDDAH: USAHASAMA TERAJU DAN USM PROMOSIKAN MAKANAN TEMPATAN

USM PULAU PINANG, 12 April 2022 – Madu kelulut, lada, gula apong, ikan terubuk masin dan telurnya yang mempunyai nilai keaslian dan keunikan tersendiri adalah antara produk-produk makanan tempatan yang bakal diperoleh di Jeddah, Arab Saudi.

5E92575C 1156 4523 A64A A9FA5716D9D7

Ia berikutan inisiatif strategik Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bersama Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan mengetengahkan produk-produk tempatan Sarawak yang premium dan berpotensi besar melalui penganjuran Sarawak Week, bertempat di Husam Waksa Foodmarket Sdn. Bhd., Jeddah pertengahan April depan.

Usaha yang dilaksanakan ini adalah sebahagian daripada kerjasama strategik di antara TERAJU, Jabatan Perdana Menteri dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM melalui program Sustainable Marketing for Community (SMART Community) di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sarawak 2020.

DPUB Sarawak 2020 merupakan sebahagian daripada inisiatif Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK-11) dan Third Rolling Plan (RP3) yang bertujuan untuk memperkukuhkan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat melalui sistem kerjasama Quadruple Helix Model yang melibatkan agensi kerajaan, institusi pendidikan, rakan industri, dan orang awam.

Dengan mengadaptasi model ini, ianya telah memberi impak yang positif kepada usahawan Bumiputera yang mana produk komuniti keluaran tempatan telah berjaya dipasarkan bukan sahaja di peringkat domestik malah telah menembusi pasaran antarabangsa seperti Arab Saudi, Jepun, China dan Amerika Syarikat.

Menurut Ketua program SMART Community, Syed Yusof Syed Kechik; “Kedai Asia merupakan entiti pertama perniagaan Malaysia yang berjaya membuka ruang perusahaan runcit di Menara Jam Abraj Al-Bait di Mekah.

“Pemilihan rakan strategik ini dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang Kedai Asia yang telah menerima anugerah Export Award daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia pada tahun 2017 dan anugerah Social Enterprise oleh Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Tambahnya, Kedai Asia yang merupakan kedai runcit milikan pertama anak Malaysia di Arab Saudi dan Negara Teluk bukan sahaja mempunyai kedai secara fizikal, malah turut menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui aplikasi pintar. Selain itu, margin penjualan produk Sarawak yang ditempatkan di Kedai Asia telah meningkat sebanyak 68.1 peratus kepada aliran pendapatan semasa Husam Waksa Sdn. Bhd.

“Husam Waksa Sdn. Bhd. membuka cawangan pertamanya berhampiran dengan Konsulat Malaysia di Jeddah melalui usaha kerjasama dengan Mohamad Garah yang juga rakan kongsi saya dalam bidang perniagaan makanan sejak tahun 2008,” tambahnya.

Dengan keluasan lantai 430 kaki persegi, cawangan pertama Kedai Asia bermula dengan 87 jenis SKU produk dari Malaysia dan kini telah melebihi 1,000 jenis SKU. Selain mempunyai pasar mini, Husam Waksa Sdn. Bhd. selaku pengasas Kedai Asia turut mempunyai sembilan akaun di pasaraya utama sekitar Arab Saudi dan turut menjadi pengedar produk halal Malaysia ke pasaran Timur Tengah melalui pasaraya utama seperti Bindawood, Manuel, Danube dan lain-lain semenjak tahun 2008 secara konsisten sehingga kini.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran Sarawak Week di Arab Saudi, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman pula berkata, projek yang memfokuskan kepada keterangkuman wilayah dan inklusif Bumiputera B40 di Sarawak ini memberi manfaat kepada lebih daripada 233 orang usahawan Bumiputera yang berpendapatan rendah (B40) di Sarawak.

“Ini adalah selaras dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB 2030) naskah Pembangunan Bumiputera sedekad akan datang yang dibangunkan TERAJU dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang memfokuskan sektor keusahawanan sebagai antara usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara amnya, sekaligus memanfaatkan ekosistem keusahawanan yang ditawarkan oleh kerajaan sebaiknya.”

Dalam pada itu, Sarawak Week akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Hj Abd. Latiff bin Ahmad pada 16 April depan.

Turut akan hadir ke majlis ini adalah Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi, ‘Alauddin Mohd Nor; Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE, Faizalkhan Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Pengarah Jaringan Komuniti BJIM, Syed Yusof Syed Kechik.

Suntingan: Marziana Mohamed Alias (daripada kenyataan media asal)

  • Created on .
  • Hits: 375

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024