KARPET BAHARU MASJID AL-MALIK KHALID USM TAMPIL KEUNIKAN TERSENDIRI
USM, 22 April 2022 - Jemaah dan kariah serta seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) besyukur apabila Masjid Al-Malik Khalid berubah wajah apabila pemasangan karpet baharunya telah selesai dan berjalan dengan lancar pada Bulan Ramadhan ini.
Keunikan rekebentuk dan warna yang digunakan pada kali ini gah dan amat dekat dengan USM apabila ia menampilkan warna ungu yang merupakan warna USM sebagai warna karpetnya.
Pengarah Pusat Islam USM, Mohammad Shukri Bin Osman mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang dan pewakaf yang telah memberi sumbangan untuk pembelian karpet ini.
“Semoga dengan penukaran ini ianya dapat memberi keselesaan kepada jemaah yang hadir untuk menunaikan ibadah di rumah Allah SWT ini,” katanya.
Kos yang terlibat untuk penukaran seluruh karpet ini adalah berjumlah sekitar RM300,000 yang pengumpulannya bermula pada tahun 2019. Karpet sebelum ini ditukar baharu sekitar tahun sebelum 2015 lagi.
Minggu lalu, tular di laman media sosial rasmi Facebook USM apabila gambar karpet ini dimuatnaik dan ia telah mendapat respon dan komen-komen yang baik serta membina daripada netizen mengenainya.
Masjid Al-Malik Khalid USM mampu menerima maksimum 1,700 jemaah pada sesuatu masa dan telah siap dibina pada 2 September 1983 dan akan menyambut ulang tahunnya ke-39 pada tahun ini.
Sejarah tercetusnya idea reka bentuk Masjid Al-Malik Khalid ini adalah hasil rekaan Fawziah Lukas, Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM ketika itu yang bertugas sebagai arkitek di Akar Architects, Design, dan Research Consultants, Kuala Lumpur.
Nama rasmi masjid ini adalah sebegitu kerana Raja al-Malik Khalid yang merupakan pemerintah kerajaan Arab Saudi ke-3 pada waktu itu, telah menyumbang sebahagian besar kos pembiayaan masjid ini dan bagi membalas jasa budi baginda, masjid ini telah dinamakan Masjid al-Malik Khalid.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 994