USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

REHABILITASI ROBOTIK TEKNOLOGI TERKINI BANTU PULIHKAN PESAKIT LUMPUH

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 April 2022 – Setelah lebih setahun setengah menawarkan Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik bermula September 2020, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima lebih 62 orang pesakit yang menjalani Program Rehabilitasi Aktif.

B61B8AF2 EB8F 4BFD B6CF 07AF208E1BCC

Menurut Penyelaras Unit Perubatan Pemulihan, Dr. Al-Hafiz Ibrahim, Hospital USM merupakan hospital universiti pertama yang menawarkan Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik Cyberdyne di Malaysia kepada pesakit yang lumpuh untuk kembali pulih.

“Rehabilitasi Robotik di Hospital USM dilengkapi dengan peralatan daripada Cyberdyne Inc. Japan dikenali sebagai Hybrid Assistive Limb (HAL) yang menawarkan tiga jenis rawatan iaitu rawatan 'Lower Limb' yang memfokuskan kepada pergerakan kaki, rawatan 'Lumbar' untuk kekuatan pinggang dan belakang serta rawatan 'Single Joint' bagi mengembalikan kemampuan menggerakkan anggota atas dan bawah pesakit.

DBB79579 8FAA 4F9E BA12 C707D3EA30B2

“Enam unit Robot Suit Hybrid Assistive Limb (HAL) Exoskeleton atau robot berteknologi baharu yang mengaplikasi signal bioelektrik neuro motor ini digunakan bagi meningkatkan kualiti perubatan untuk pesakit terlantar akibat strok dan seumpamanya khusus di Kelantan dan negeri-negeri pantai timur bagi mempercepatkan proses pemulihan,” katanya.

Tambah Al-Hafiz, sebelum menjalani rawatan, penilaian ke atas pesakit akan dilakukan oleh pakar rehabilitasi bagi menentukan keseriusan kecederaan dan tahap rawatan yang bersesuaian.

"Sepanjang tempoh rawatan, pesakit akan dipantau oleh pasukan Robo Rehab yang terdiri daripada Pakar Perubatan Rehabilitasi, Pegawai Perubatan dan Jurupulih Perubatan (Anggota dan Carakerja) terlatih bagi memastikan mereka dapat menjalani rawatan mengikut jadual serta setiap sesi yang dijalankan akan direkodkan bagi melihat perkembangan rawatan yang dijalani.

A932AA6C 492D 4D99 857C FBBFA411D9AC

“Sepanjang menjalani rawatan juga, pesakit akan ditempatkan di Wad Korporat Hospital USM dengan persekitaran yang kondusif di samping pelbagai kemudahan antaranya katil yang selesa, tandas yang mesra pesakit, pendingin hawa dan penyediaan diet yang bersesuaian,” jelasnya lagi.

Al-Hafiz berkata, perkhidmatan Rehabilitasi Robotik ini juga dipercayai mampu mengubah nasib pesakit yang menyertai program rawatan ke atas mereka.

“Sebagai contoh, seorang pesakit bernama Abdul Rashid Udin, 58 tahun, dari Pak Badol, Melor yang dahulunya lumpuh dan berkerusi roda akibat kakinya tersadung sehingga beliau tersungkur ke lantai, kini kembali pulih dan mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat serta mampu memandu kenderaan sendiri.

“Saya yakin Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik ini memberi sinar baharu kepada beliau dan keluarga untuk menjalani kehidupan normal seperti dahulu,” ujarnya.

791B394A 6C2D 4D5E BF87 41A8F229F272

Al-Hafiz turut menjelaskan bahawa Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik Hospital USM dikhususkan kepada pesakit yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Walau bagaimanapun, perkhidmatan ini juga terbuka kepada pesakit lain (bukan pencarum PERKESO) yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan Rehabilitasi Robotik ini.

“Ia merupakan usaha Hospital USM untuk membantu pesakit yang mengalami kecederaan atau kekurangan daya fizikal agar dapat kembali bekerja selain mampu berdikari dalam menjalani kehidupan harian,” ulasnya lanjut.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 418

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024