USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PAKAR ARKEOLOGI TEMUI BATU 20000 TAHUN

DSC 0023

PULAU PINANG, 10 Julai 2013 – Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) diberi kepercayaan, ditawar dan dipelawa untuk meneruskan kajian di seluruh tapak Kashmir Smast. Pencapaian ini adalah hasil kejayaan pasukan di bawah kepimpinan Pengarah PPAG, Prof. Mohd Mokhtar Saidin yang menemui alat batu pertama dalam tapak Gandhara di kampus University of Peshawar (UoP), Pakistan dan juga alat batu beliung ‘adze’ di Kashmir Smast. Batu beliung ‘adze’ tersebut dipercayai berusia lebih 20,000 tahun.

“Signifikasi projek ini adalah penting untuk menunjukkan keupayaan penyelidik arkeologi bagi mendapat pengiktirafan untuk menjalankan penyelidikan di luar negara secara rasmi dan sistematik,” kata Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman. 

“Kita akan meneruskan kajian ini dengan UoP dan pada bulan September ini seramai lima orang pelajar ijazah tinggi akan diterima masuk ke USM khas untuk membuat kajian di tapak tersebut,” tambah Omar. 

DSC 0030

Kumpulan ini yang terdiri daripada lapan orang peserta dari PPAG telah berada di Peshawar dan bekerjasama dengan Institute of Archaeology and Social Anthropology (IASA), UoP bermula 4 Jun sehingga 2 Julai 2013 hasil daripada penandatanganan Memorandum Perjanjian antara USM dan juga UoP pada April lalu. 

“Secara umumnya, selama sebulan kami dapat mengumpulkan data untuk kajian masa depan. Kami telah membuat pemetaan magnetik bagi menentukan potensi tapak Gua Kashmir Smast (The Great Cave), biara Kashmir Smast (monastery), takungan air (spring water tank) dan takungan air utama (great water tank) serta tapak Gandhara dalam kampus UoP. 

“Bagi saya sendiri, pengiktirafan ini membolehkan kita menerokai tapak Kashmir Smast yang berkeluasan lima kilometer persegi. Tapak ini akan memberi peluang kepada penyelidik USM bagi tempoh yang agak lama untuk membuat penerokaan. 

DSC 0042

“Perjalanan penerokaan Kashmir Smast mengambil masa empat jam berjalan kaki di dalam keadaan cuaca mencecah 50 darjah Celsius dan berbukit melebihi 2000 meter atas aras laut. Itu hanyalah empat tapak sahaja,” jelas Mokhtar di dalam sidang media khas untuk berkongsi kejayaan ini. 

"Tapak ini dipilih sebagai kesinambungan dari usaha penyelidikan yang dilakukan di Sg. Batu, Lembah Bujang apatah lagi ia banyak disebut dalam pelbagai catatan sanskrit dan kami ingin melihat bagaimana ia saling berkait dalam prasejarah manusia," kata Mokhtar nenjawab pertanyaan pemberita. 

Kesemua hasil kajian awal ini mendedahkan kepentingan tapak Kashmir Smast dalam zaman prasejarah dan juga tamadun awal. Hal ini sangat menggembirakan UoP, dan mereka membuka seluas-luasnya kerjasama masa depan di tapak tersebut dalam bentuk kajian terperinci seperti ekskavasi. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

 

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1947

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024