USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LANGKAH AWAL KAWAL AKTIVITI PERTANIAN TANAH TINGGI MELALUI KERJASAMA STRATEGIK USM-DOA

6F85AEDC 4B2A 4D13 81D5 90B93FDD49E3
NIBONG TEBAL, 4 April 2022
Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) merupakan langkah awal dalam kawalan hakisan dan kelodak (ESCP) untuk aktiviti pertanian di kawasan tanah tinggi.

Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia, Dato’ Zahimi Hassan ketika hadir dalam majlis penandatanganan yang diadakan di Kampus Kejuruteraan USM baru-baru ini (30 Mac 2022), langkah ini akan turut melibatkan aktiviti pengurusan pemuliharaan air di kawasan-kawasan terlibat termasuklah di Kawasan Pengurusan Khas (SMA).

1F9AF440 8912 4968 BD26 CC6E39EFD36F

Malah, Zahimi turut menyatakan bahawa kerjasama yang dijalankan ini juga akan dapat mengawal kejadian tanah runtuh di kawasan tanah tinggi memandangkan lokasinya yang lebih berisiko terhadap hakisan dan seterusnya meminimumkan impak pencemaran yang lain seperti banjir kilat serta banjir lumpur di masa akan datang.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu dokumen serta garis panduan kawalan hakisan dan kelodak (ESCP) untuk aktiviti pertanian di kawasan tanah tinggi akan diwujudkan melalui kerjasama ini sebagai rujukan kepada pengusaha-pengusaha di beberapa Kawasan seperti Cameron Highlands, Kinta dan Lojing.

Bagi Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak USM, beliau menyifatkan kerjasama pintar ini merupakan sebahagian daripada usaha serta tanggungjawab USM bukan sahaja terhadap komunitinya sahaja, malah masyarakat luar juga.

3777956B D794 42CD 8C5C 39F8ECC6E625

“Kita ingin menekankan bahawa setiap kerjasama yang kita laksanakan atau jalinkan, impaknya masih kepada menyumbang semula manfaatnya kepada masyarakat dan itu yang sentiasa dititikberatkan oleh universiti selama ini,” kata Faisal Rafiq.

“Malah, kita juga mahu pendidikan dan impak itu bergerak seiringan, apatah lagi dengan status USM sebagai satu-satunya universiti yang berfokus kepada kelestarian dalam kalangan golongan terkebawah (bottom billion),” tambah beliau.

238FDBA6 6328 4BF0 82D8 DD193E882759

Antara fokus lain MoU ini adalah untuk mewujudkan satu perkongsian strategik antara kedua-dua pihak seperti maklumat, kemudahan, teknologi, kepakaran dan lain-lain di samping USM akan menyediakan modul pembelajaran dan latihan pada peringkat kursus asas, serta kepakaran dalam bidang kerjasama di pelbagai peringkat pengajian seperti Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Turut hadir adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM merangkap Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Tanah, Jabatan Pertanian Malaysia, Normaizah Hj. Ismail @ Manaf; Pengarah Pertanian Negeri, Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Muhaimin Ibrahim; dan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Tanah, Khazana Ibrahim.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 561

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024