USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BKPPPJJ ANJUR ROAR STEPS CHALLENGE 2022 BERSAMA NGO PENCINTA

0D22CFB8 E3F6 42C2 8323 90898765D896

USM PULAU PINANG, 14 April 2022 Badan Kebajikan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (BKPPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) sedang menganjurkan Roar Steps Challenge 2022 dengan kerjasama Pertubuhan Pencinta Warisan Alam Semulajadi Malaysia (PENCINTA) sebagai salah satu aktiviti bagi menyokong agenda kelestarian termasuk kelestarian dan kesejahteraan manusia dan juga alam semulajadi.  

Menurut Pengerusi BKPPPJJ, Dr. Amirah Hurzaid, aktiviti ini adalah sangat bertepatan dengan agenda universiti dalam memperjuangkan agenda kelestarian di samping menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan ahli BKPPPJJ khasnya dan warga USM amnya.

“Kerjasama dengan PENCINTA ini adalah satu ilham untuk membantu dalam mengekalkan warisan semulajadi Malaysia dan sebahagian yuran penyertaan untuk aktiviti ini akan disalurkan kepada PENCINTA,” tambah Amirah.  

“Sasaran kami adalah untuk mendapatkan sejumlah 1,000 peserta dalam kalangan staf, pelajar dan alumni USM serta orang awam.  

Untuk rekod, Roar Steps Challenge 2022 ini adalah terbuka kepada semua dan yuran yang dikenakan adalah RM59.00 seorang. Peserta akan dibekalkan dengan kit pendaftaran iaitu sehelai jersi, medal dan juga sijil digital.  

“Peserta perlu melengkapkan hanya 50,000 langkah yang disasarkan dalam tempoh bermula 1 April hingga 30 Jun 2022 dan menghantar bukti tersebut kepada penganjur.  

“Pihak penganjur juga menyediakan hadiah lumayan untuk peserta dengan langkah terbanyak dan juga gambar dengan jumlah tanda suka atau likes tertinggi di media sosial,” tambah Amirah.  

Untuk maklumat lanjut, peserta boleh melayari Facebook SDE Roar Steps Challenge 2022 atau terus mendaftar di laman bit.ly/3KK0x4b .

Teks: Nor Rafizah Md Zain



  • Created on .
  • Hits: 519

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024