USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERKONGSIAN KEPAKARAN MELALUI PENGALAMAN DALAM SIRI SYARAHAN PENTADBIR

D905F5FD 5B59 4370 92EE B1E079A3CAC4

USM PULAU PINANG, 12 April 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Transformasi Insan (PTI) telah menganjurkan Siri Syarahan Pentadbir USM: ‘Kecekapan Proses Kerja Melalui Pendigitalan’ yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Webex.

Menurut PTI selaku penganjur, program ini akan dijalankan secara berterusan dan difahamkan juga bahawa terdapat 5 siri program yang bakal dijalankan tahun ini, bermula dengan syarahan hari ini.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk mewujudkan sebuah platform sama ada secara dalam talian mahupun secara bersemuka dalam kalangan pentadbir serta pihak pengurusan dan profesional untuk berkongsi pengalaman, ilmu pengetahuan, kemahiran, budaya kerja dan sebagainya untuk melonjakkan kualiti penyampaian perkhidmatan di USM.

Selain itu, program ini juga memberikan peluang serta ruang kepada mana-mana para pentadbir yang ingin ke hadapan untuk berkongsi kepakaran dan ilmu pengetahuan mereka, berdasarkan pengalaman mereka yang luas bagi meningkatkan kualiti diri dari aspek kepimpinan dan pentadbiran di Malaysia.

Syarahan yang diadakan pada hari ini menampilkan penceramah jemputan iaitu Ketua Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat USM-Digital, Tuan Haji Yusoff Abdullah.

Dalam sesi berkenaan, Yusoff berkata, tajuk ini dipilih ekoran kepakaran beliau di dalam bidang pendigitalan serta keadaan semasa yang memaksa kita untuk berada seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat berkembang, ditambah pula dengan wabak pandemik yang masih melanda dunia pada masa kini.

“Selama 36 tahun perkhidmatan saya kepada USM, saya percaya pendigitalan dokumen merupakan antara perkara yang perlu diutamakan kerana ia dapat memelihara dokumen daripada risiko kerosakan dan salah pengendalian dengan menyediakannya dalam bentuk digital, selain dapat memelihara keadaan dokumen tersebut bagi keperluan untuk dimigrasikan ke dalam format yang relevan sebagai bahan rekod dan rujukan masa akan datang.”

Di dalam slot terakhir syarahannya, beliau turut kongsikan sebuah usaha yang sedang dijalankan oleh pihak USM iaitu pembangunan MyStudent@USM dan Campusonline.

Beliau menggariskan 4 fasa di dalam perlaksanan projek itu, yang dijangka mampu memberikan sebuah impak yang besar kepada pihak USM dan mungkin dapat dilaksanakan secara menyeluruh pada hujung tahun 2024.

Sesi diakhiri dengan harapan beliau agar segala perkongsiannya pada kali ini dapat memberikan impak serta manfaat kepada semua yang menyertai siri syarahan pentadbir tersebut.

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli

  • Created on .
  • Hits: 593

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024