BERBEZA AGAMA BUKAN HALANGAN UNTUK RAI RAMADHAN BERSAMA
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 April 2022 – Meraikan Ramadhan dalam suasana fasa peralihan ke endemik membuka ruang untuk kita melakukan pelbagai aktiviti kehidupan normal sebelum ini, namun dengan kawalan kendiri serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Bagi mahasiswa dan mahasiswi Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Ramadhan kali ini disambut ceria apabila pelbagai kelonggaran diberikan selaras dengan peralihan fasa tersebut.
Setiap kali Ramadhan, Pusat Islam Kampus Kesihatan melancarkan Sambutan Ihya' Ramadhan dengan pelbagai pengisian sepanjang bulan mulia ini.
Salah satu daripadanya adalah gotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa untuk pelajar, petugas, peneman pesakit serta komuniti setempat yang memerlukan.
Menjengah dapur Pusat Islam, salah seorang sukarelawan dalam kalangan pelajar, Altamimi Mouayyad yang berasal dari Arab Saudi berkongsi pengalaman beliau merasai berpuasa di kampus dalam situasi normal, pandemik dan kini fasa peralihan ke endemik.
Beliau melahirkan rasa syukur kerana berpeluang meraikan Ramadhan pada tahun ini dalam suasana yang ceria dan boleh melaksanakan semula program memasak serta mengagihkan juadah berbuka secara gotong-royong sebagaimana sebelum pandemik melanda negara walaupun dengan pematuhan SOP.
"Setelah empat tahun di sini, sudah tentu saya rindukan keluarga di tanah air apatah lagi di bulan Ramadhan ini.
"Namun, Malaysia telah menjadi rumah kedua saya dan walaupun dikelilingi rakan-rakan serta mereka yang berlainan bangsa, ianya tidak menjadi masalah malahan sedikit pun saya tidak merasa terpinggir," katanya ketika ditemu bual.
Mouayyad yang merupakan mahasiswa Tahun 4, Program Doktor Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), seronok melihat rakan-rakan termasuk yang bukan beragama Islam bersama-sama membantu sebagai sukarelawan dalam program tersebut tanpa sebarang perasaan prejudis.
"Satu perkara unik yang saya lihat di sini, yang tidak ada di negara saya ialah ramai rakan-rakan bukan Islam yang turut berpuasa sebagai tanda hormat contohnya rakan sebilik saya sendiri berpuasa dan berbuka bersama-sama saya sebagai menghormati bulan Ramadhan dan rakan-rakan Islam yang lain," ujar beliau.
Perkongsian Mouayyad turut disokong oleh Navin Kumar a/l Magesvaran, pelajar Tahun Akhir, Program Sains Senaman dan Sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK).
Navin yang turut berpuasa pada setiap bulan Ramadhan sejak tujuh tahun lalu, sedikitpun tidak merasa susah malahan seronok melaksanakan ibadah tersebut sebagai tanda hormat kepada rakan-rakan yang lain.
"Saya akan rasa bersalah jika saya tidak berpuasa tetapi bila tiba hari raya, saya ke rumah kawan-kawan untuk meraikan hari mulia tersebut.
"Jadi saya latih diri untuk berpuasa dan berjaya puasa penuh pada setiap bulan Ramadhan selama tujuh tahun.
"Pada saya, puasa bukan sesuatu yang pelik, tetapi ianya baik untuk kesihatan dan benda baik patut kita amalkan," ujarnya.
Bercerita tentang penglibatan beliau dalam program Ihya' Ramadhan ini, Navin menjelaskan bahawa secara peribadi, beliau tidak pernah memandang agama apa yang dianuti oleh rakan-rakan yang lain kerana pada beliau, kita semua adalah manusia dan perlu hidup bersatu-padu serta saling membantu kerana setiap bantuan atau kebaikan kita kepada orang lain, satu hari nanti, ianya akan kembali kepada kita.
Navin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat serta para penyumbang yang telah memastikan program penyediaan juadah berbuka ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Program gotong-royong ini turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) serta Rakan Masjid, Kampus Kesihatan.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid /Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 458