USM, JABATAN MUFTI NEGERI PULAU PINANG PERKUKUH KERJASAMA PENERBITAN
USM PULAU PINANG, 7 April 2022 – Majlis Penandatanganan Perjanjian antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang yang dilangsungkan hari ini bakal mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak dalam bidang penerbitan buku ilmiah.
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd Noor menganggap kerjasama bersejarah ini akan merancakkan lagi penerbitan buku-buku yang dapat meningkatkan kefahaman umat Islam terhadap isu-isu fatwa kontemporari dan hukum syarak.
Menurut beliau, selama ini kepakaran yang dimiliki oleh USM telah banyak membantu penyelidikan dan pembangunan fatwa di peringkat negeri. Oleh itu, kerjasama ini diperluaskan lagi dalam bidang penerbitan buku.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, perjanjian yang dicapai pada bulan Ramadhan ini amat bermakna bagi USM, khususnya warga Penerbit USM yang sedang meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-50 pada tahun ini.
“Sepanjang tempoh itu, Penerbit USM telah berjaya menerbitkan sebanyak 875 judul buku yang melibatkan sebanyak 1,312 penulis.
Perkembangan terkini pula menunjukkan bahawa jumlah buku yang berada di peringkat perancangan berjumlah 125 judul, manakala jumlah buku yang sedang diproses untuk diterbitkan berjumlah 61 judul. Dari aspek strategi pemasaran, USM memiliki 120 rangkaian pengedar di dalam dan luar negara, termasuk rakan-rakan e-dagang,” katanya.
Tambahnya, USM juga telah memperkasakan dasar dan strategi penerbitan untuk memastikan proses penerbitan buku dapat dilakukan dengan lebih pantas, menarik dan berdaya saing dalam industri buku.
“Penjenamaan semula Penerbit USM melalui kedai buku EMDASH dan Unit Penerbitan Popular bukti komitmen USM untuk kekal sebagai peneraju dalam kalangan penerbit yang terawal di institusi pengajian tinggi Malaysia,” ujarnya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibul Fadhilah Tuan Haji Mohd Yusof Bakar; dan Pengarah Penerbit USM, Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainon.
Teks: Dr. Nazrul Hassan (Penerbit USM)/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 522