USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT USM DIJENAMAKAN KEPADA PUSAT PERUBATAN USM; TURUT JADI AKADEMI BRAKI PERTAMA DI MALAYSIA

IPPT BERTAM, 5 April 2022 – Penyediaan teknologi termaju serta perancangan teliti dalam menongkah cabaran semasa menjadi salah satu komitmen Universiti Sains Malaysia (USM) untuk terus berada di hadapan.

C3FE14B7 AF71 485C 913B 4EBF4EEEADBB

Dalam perkembangan terkini Universiti, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM di Bertam akan diberi nafas baru dan dijenamakan sebagai 'Pusat Perubatan USM' menjelang Jun depan.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, penjenamaan itu secara tidak langsung menjadikan IPPT yang juga pusat rujukan kanser setanding dengan hospital lain di negara ini.

Beliau turut berkata, ketika ini IPPT ialah satu-satunya pusat rujukan kanser wilayah utara di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang menawarkan perkhidmatan rawatan kanser dan perubatan nuklear terapeutik serta diagnostik.

Tambah beliau, penjenamaan ini berperanan dalam memberi kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai tentang adanya sebuah pusat perubatan yang berfungsi sebagai hospital di kawasan ini.

Selain itu, usaha yang sedang dilakukan ini telah mendapat sokongan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kelantan," katanya selepas Majlis Pelancaran Rasmi IPPT USM sebagai Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa BrachyAcademy, minggu lalu (28 Mac 2022).

Mengulas lanjut, Faisal Rafiq berkata, pihak USM juga perlu menaik taraf fasiliti dan kemudahan yang terdapat di pusat perubatan itu supaya selari dengan usaha penjenamaan yang sedang dilakukan itu.

"Kita berharap akan memperolehi peruntukan daripada RMK (Rancangan Malaysia ke-12) dan menjelang 2024 atau 2025 kita boleh membuka pusat perubatan ini dengan perkhidmatan lengkap," katanya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan, IPPT juga secara rasminya mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa BrachyAcademy di Malaysia.

90C06550 F248 42A4 8989 2E266F05C62C

Ia menjadi satu-satunya institusi pendidikan di negara ini yang menerima pengiktirafan dunia apabila menawarkan perkhidmatan untuk rawatan kanser ginekologi, hati, kepala dan leher, prostat dan esofagus, dengan pengkhususan khas pada kanser hati primer dan sekunder.

Sehingga kini hampir 1,000 pesakit dari seluruh negara termasuk juga dari Indonesia dan Australia telah dirujuk ke IPPT untuk sesi perundingan dan sejumlah 578 pesakit telah menjalani prosedur brakiterapi di IPPT.

IPPT juga telah memajukan teknik brakiterapi untuk kanser lidah dikenali sebagai HyBIRT (Hybrid Brachytherapy followed by Intensity Modulated Radiotherapy) dan menjadi perintis kepada teknik ini di seluruh dunia.

"IPPT diberi mandat untuk menjadi akademi braki yang pertama di Malaysia, antara kesan hasil mandat tersebut, kita akan melatih doktor dalam bidang brakiterapi, serta lebih ramai pesakit yang akan datang ke sini, bukan sahaja dari Malaysia malah luar negara juga," katanya.

Turut hadir, Pengarah IPPT, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin; Pengurus Pemasaran Klinikal Brachytherapy Solutions Wilayah Asia Pacific, Ulrich Krumme; dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Perasmian merangkap Pensyarah dan Pakar Otorinolaringologi (ENT) di IPPT, Dr. Muhamad Yusri Musa.

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli

  • Created on .
  • Hits: 447

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024