USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JOM KENALI IPPT, AGAR LEBIH DEKAT DI HATI

IPPT BERTAM, 4 April 2022 – Setiap perkenalan, pastinya diselit bersama sebuah pengalaman baru dan itulah yang ingin dilaksanakan oleh pihak Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) di dalam usaha memperkenalkan IPPT kepada masyarakat menerusi program “KARNIVAL IPPT, USM BERSAMA KOMUNITI DAN PELANCARAN WAKAF PUSAT KOMUNITI IPPT” yang baru berlalu.

FED42658 38F8 4A28 BDED 8C11BE1DAFCA

Pengarah IPPT USM, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin, di dalam ucapan perasmiannya berkata masyarakat di negara ini perlu komited untuk menjadi nadi dan tunjang keharmonian hubungan antara kaum bagi memastikan nikmat perpaduan dapat dikecapi sehingga ke generasi akan datang.

“Saya percaya apabila berlaku integrasi kaum, ia mampu memupuk semangat perpaduan, keharmonian pelbagai kaum dan cintakan negara,” katanya.

Menurut beliau lagi, di hari yang mulia ini juga, marilah bersama-sama rehatkan minda anak-anak kita daripada gajet dan permainan video dengan melakukan aktiviti yang lebih sihat dan bermanfaat.

134AF101 5E06 43CD 8323 2C04DE26585C

Turut hadir untuk menyempurnakan perasmian Karnival IPPT, USM Bersama Komuniti dan Pelancaran Wakaf Pusat Komuniti IPPT yang diadakan pada 26 Mac 2022 lalu ialah Pengerusi Lembaga Gabenor (LGU) USM, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

“Pusat Komuniti IPPT dibangunkan secara wakaf untuk manfaat waris dan tetamu yang berkeperluan menginap dan berehat dengan selesa, di samping dapat menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Pusat Komuniti IPPT. Ia juga dilengkapi dengan kemudahan seperti taska, dewan seminar dan bilik pengurusan jenazah untuk kategori penyakit berjangkit.

“Bersempena Minggu Kesedaran Kanser, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada IPPT USM kerana mengambil inisiatif dalam memberi kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit kanser ini,” tambah Awang Adek.

Selain itu, beliau menyeru orang ramai tanpa mengira latarbelakang dan agama untuk tampil mengambil peluang pada hari tersebut untuk bersama-sama menyumbang kepada dana wakaf Pusat Komuniti IPPT itu.

95C81867 FAA0 4533 B489 DDEA9B5BED70

Karnival ini bertujuan untuk mendekatkan IPPT USM kepada komuniti sekitar dan diharapkan ia akan memperluaskan perkhidmatan yang ditawarkan oleh IPPT USM untuk manfaat warga komuniti.

Karnival ini juga telah diserikan dengan adanya pelbagai acara menarik seperti pertandingan poster, pertandingan teka silang kata, pertandingan mewarna dan pelbagai aktiviti kanak-kanak, serta tidak ketinggalan aktiviti pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah.

Antara yang hadir bersama ialah Ahli Lembaga Gabenor (LGU) USM, Dato’ Seri Farizan Darus; Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Bin Osman; dan Pengerusi Jawatankuasa Karnival IPPT, USM Bersama Komuniti, Dr. Noor Khairiah A. Karim.

189056C7 1798 42D7 BD57 0D675FB9AA15

Selain itu, pada 28 Mac 2022, telah berlangsung Majlis Pengisytiharan Akreditasi Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa Brachyacademy di IPPT, hasil pengiktirafan sebuah badan antarabangsa yang berpangkalan di Belanda.

Akreditasi itu suatu kebanggaan dan pengiktirafan yang sangat tinggi kerana USM merupakan satu-satunya pusat brakiterapi yang menerima akreditasi tersebut di Malaysia, yang mana terdapat hanya tiga pusat seumpama itu sahaja di seluruh Asia.

29BBAE0D 126C 4390 8217 A56934EE149F

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 427

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024