USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA TOKOH WANITA TERIMA ANUGERAH AKADEMIK NEGARA KE-14

PULAU PINANG, 2 April 2022 – Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-14 yang dilangsungkan pada 24 Mac 2022 menyaksikan mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail dan Profesor Dr. Nor’Aini Yusof dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM berjaya menerima anugerah tertinggi dalam kalangan ahli akademik.

75D940A8 A6E0 4762 AF2E 1BF0581300D2

Asma dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara 2021, manakala Nor’Aini meraih Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains Sosial dan Sastera).

Asma menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM200,000, trofi dan sijil yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di majlis khas yang diadakan di Hotel Sama-Sama di Sepang, Selangor.

Nama Asma sering menjadi sebutan dan dikenali di peringkat kebangsaan dan antarabangsa atas ketokohan dan kepimpinan beliau dalam ekosistem pendidikan tinggi, penyelidikan mikrobiologi dan bioteknologi perubatan berimpak serta menjadi pejuang perubahan sistematik bagi dasar dan tadbir urus Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM) dan sistem inovasi negara.

Asma yang merupakan Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), menjadi Naib Canselor USM dari 2016 hingga 2019, dan sebelum itu, pernah dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2012-2014.

Uniknya, beliau juga merupakan wanita pertama memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dari 2019 sehingga 2021.

Asma, 63, ketika ini turut menganggotai Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama dan Majlis Sains Negara selain menjadi ahli dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (2015-2018).

Bahkan beliau pernah menerima beberapa anugerah unggul termasuk Anugerah Saintis Muda Negara (1991); Anugerah Wanita Cemerlang AVON – Tan Sri Fatimah (Kategori Perubatan dan Sains) (1996); Anugerah Sains dan Teknologi, Malaysia Toray Science Foundation (2002); Anugerah Perekacipta Negara (2002); Anugerah Inovasi Negara (2006); Anugerah Akademik Negara (Kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk) pada 2006; dan Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2019.

Ketika ditemu bual, Asma turut berkongsikan sedikit perasaan serta harapan beliau setelah berjaya merangkul anugerah tersebut.

“Saya berasa amat gembira kerana telah diberikan pengiktirafan ini dalam perjuangan saya menerusi bidang akademik serta penyelidikan ke arah membangunkan negara dari segi sains dan teknologi.

"Oleh itu, saya berharap dengan kemenangan ini, ia dapat memberi sedikit suntikan semangat serta inspirasi kepada semua pensyarah dan ahli akademik untuk memberikan yang terbaik supaya menjadi Tokoh Akademik Negara kerana ini merupakan pengiktirafan tertinggi bagi ahli akademik di Malaysia,” katanya.

Mempunyai minat yang mendalam serta menjalankan penyelidikan tentang pembangunan dan pengurusan hartanah, inovasi dan amalan mampan dalam persekitaran binaan, Nor'aini telah menerbitkan pelbagai jurnal di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak USM di atas sokongan serta dorongan yang diberikan, kerana kejayaan ini bukanlah kejayaan saya seorang, tetapi ia adalah kejayaan bersama dan ini adalah hadiah saya kepada USM,” katanya.

Sebagai pemenang Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Nor’aini menerima wang tunai berjumlah RM50,000, trofi dan sijil.

Mengiringi Perdana Menteri di majlis ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Senator Dato' Dr. Ahmad Masrizal Muhammad; Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar; pengurusan tertinggi KPT serta para Naib Canselor UA.

AAN yang diperkenalkan sejak 2006 itu menyaksikan 86 penerima dinobatkan dalam tujuh kategori yang dipertandingkan, iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara; Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal; Anugerah Penerbitan Buku; Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk; Anugerah Seni dan Kreativiti; Anugerah Pengajaran; dan Anugerah Ahli Akademik Harapan.

AAN yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT bertujuan memberikan sanjungan dan pengiktirafan tertinggi kepada para sarjana di Institut Pendidikan Tinggi Malaysia yang telah banyak memberikan sumbangan dalam bidang pemindahan dan pengembangan ilmu pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

---------------------------------------------------

Anugerah Akademik Negara (AAN)

Anugerah Akademik Negara (AAN) ialah anugerah berprestij tahunan KPT bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada ahli-ahli akademik yang telah mencapai kejayaan cemerlang di dalam pelbagai bidang.

Anugerah ini memberi pengiktirafan bukan sekadar dalam aspek pengajaran dan penyelidikan semata-mata, tetapi meliputi peranan ketiga institusi pendidikan tinggi iaitu sumbangan akademik kepada pembangunan negara dan masyarakat.

Bagi memastikan anugerah ini kekal relevan dan menjadi satu-satunya anugerah paling berprestij dalam memartabatkan institusi pendidikan tinggi negara, Kementerian telah membuka pencalonan dan permohonan untuk semua kategori anugerah kepada semua universiti awam, universiti/kolej universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti.

Terdapat tujuh (7) kategori anugerah yang dibuka untuk permohonan dan pencalonan iaitu:-

i.          Anugerah Tokoh Akademik Negara;
ii.         Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal;
iii.        Anugerah Penerbitan Buku;
iv.        Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk;
v.         Anugerah Seni dan Kreativiti;
vi.        Anugerah Pengajaran; dan
vii.       Anugerah Ahli Akademik Harapan.

Tujuh kategori anugerah yang dipertandingkan itu menilai sumbangan dan pencapaian mereka semua dalam pengajaran dan pembelajaran; penemuan ilmu baharu; penerbitan ilmiah dan perkongsian di media massa; penciptaan rekaan kreatif; serta pemindahan dan pengembangan ilmu untuk komuniti dan masyarakat merentas benua.

Pencalonan yang berjaya untuk Anugerah Tokoh Akademik Negara akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM200,000 berserta sebuah piala dan sijil daripada KPT. Manakala lain-lain kategori akan menerima hadiah wang tunai RM50,000 berserta sebuah piala dan sijil. 

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli & Tan Ewe Hoe /Poster: Ebrahim Abdul Manan/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 920

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024