USM TUBUH SEKRETARIAT ALUMNI SABAH
KOTA KINABALU, 7 Julai 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) menubuhkan Sekretariat Alumni Sabah untuk memperkukuhkan kedudukannya di luar negeri Pulau Pinang, membantu Persatuan Alumni USM dan Persatuan Alumni USM Sabah yang sedia ada untuk berkhidmat kepada masyarakat.
"Kita ingin agar alumni USM yang berada dalam pelbagai sektor sama ada industri, media, pendidikan, pengajian tinggi apatah lagi kerja sosial untuk menggembleng tenaga bersama-sama untuk berkhidmat kepada masyarakat dan orang ramai serta tidak semestinya hanya kepada USM," kata Naib Canselornya Profesor Dato' Dr. Omar Osman.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama alumni USM di sini yang dihadiri oleh kira-kira 50 orang bekas pelajar USM. Sebelum itu, Naib Canselor beramah mesra dengan para alumni, menjawab soalan dan menerangkan pembangunan USM masa kini, terutamanya kedudukannya di dunia.
Ditanya tentang pengambilan kira-kira 200 orang pelajar dalam kalangan mereka yang tidak bernasib baik terutamanya golongan miskin dan dari pedalaman, Omar berkata, ini adalah satu khidmat USM untuk memberi peluang kepada golongan itu untuk mengikuti pengajian tinggi yang mungkin sukar untuk bersaing dengan mereka lain disebabkan pelbagai faktor latar belakang dan kemiskinan.
"Para alumni juga boleh membantu golongan ini dengan mengenal pasti dan memaklumkan kita tentang mereka ini yang mungkin banyak pihak terlepas pandang," kata Naib Canselor USM itu lagi.
Sebelum ini, USM juga telah melancar Sekretariat Alumni USM Johor yang berperanan untuk menggerakkan bekas-bekas pelajar untuk dilibat sama dalam pelbagai aktiviti sosial dan sukarela secara bersama untuk masyarakat.
Di negeri Sabah, USM mempunyai kira-kira 2,000 orang alumni, 400 orang daripadanya berada di Kota Kinabalu manakala di negeri Johor terdapat 5,000 orang alumni USM. Keseluruhannya alumni USM sekarang berjumlah 120,000 orang yang terdapat di dalam dan di luar negara. -- Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1785