USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UMAT ISLAM PERLU BERSATU BINA KEKUATAN BERSAMA

usmhilmi

PULAU PINANG, 5 Julai - Umat Islam perlu bersatu untuk membina kekuatan yang ada. Hanya dengan cara itu umat Islam akan lebih kuat dan mampu bersaing dengan orang lain.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Seri Dr. Hilmi Hj Yahaya, di Malaysia telah termaktub dalam Perlembagaan yang orang Melayu di Malaysia mesti beragama Islam. Justeru,  umat Islam yang kuat sekaligus berupaya mengukuhkan kedudukan orang Melayu bagi memastikan kesejahteraan negara yang seimbang pencapaiannya dengan mereka yang lain.

Berucap di Majlis Program Penyampaian Sumbangan Amal Jariah dan Pengimarahan Masjid Sempena Bulan Ramadhan 1434 kepada 206 wakil qariah masjid di negeri Pulau Pinang untuk mengadakan moreh pada bulan Ramadhan yang diadakan di Dewan Cahaya Siswa USM.

Helmi berkata, pada masa ini kerajaan telah berjaya melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan syariat Islam terutamanya dalam aspek fardhu kifayah seperti pembangunan ekonomi Islam, perbankan Islam dan pelbagai lagi.

"Saya fikir, kita boleh majukan lagi pembangunan ekonomi umat Islam terutama di kampung-kampung dengan memanfaatkan masjid-masjid yang ada, misalnya membuka kedai-kedai runcit dan kedai 1Malaysia yang keperluan harian asal sahaja tidak membunuh perniagaan runcit sedia ada," katanya lagi.

Tambah Hilmi, bangsa-bangsa lain kuat kerana mereka bersatu padu dalam memperjuangkan pelbagai isu yang ada kepentingan bersama sedangkan orang Melayu sering berpecah dan melihat kepada perbezaan yang ada terutamanya pegangan politik yang menyebabkan sukar untuk membina kekuatan bersama.

Beliau menyeru agar orang-orang Melayu dan Islam memanfaatkan Ramadhan yang akan datang ini untuk melakukan tindakan-tindakan bersama untuk membina kekuatan yang ada secara berterusan dan melupakan perbezaan yang ada, sebaliknya menggunakan titik persamaan yang ada untuk menghadapi persaingan dan berdiri sama tinggi dengan orang lain.

Turut hadir di majlis ini Abdul Aziz Ashaari Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri sebagai penganjur utama dengan kerjasama USM. Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1416

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024