BENGKEL APA BERI INPUT BERGUNA PADA PESERTA
USM PULAU PINANG, 6 April 2022 - Menyedari pentingnya pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengaplikasikan teknik penulisan mengikut format American Psychological Association (APA) yang betul semasa melakukan tugasan atau menulis tesis, Kelab Kerja Sosial dan Kelab Pembimbing Rakan Sebaya, USM telah mengadakan Bengkel Penulisan Format APA secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi WebEx baru-baru ini.
Menurut penceramah Bengkel APA iaitu Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan merangkap Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komunti), Profesor Madya Dr. Paramjit Singh Jamir Singh, pengalaman beliau semasa menyemak tugasan dan tesis yang dilakukan oleh pelajar mendorong beliau untuk memberi pengetahuan tentang format penulisan APA (American Psychological Association) yang betul dan terkini iaitu APA 7th Edition bagi meningkatkan pemahaman pelajar menulis tugasan dan tesis mengikut format APA dengan betul dan tepat serta mengelakkan pelajar melakukan kesalahan dalam penulisan format APA.
Sementara itu, Pengarah Projek, Muhammad Mifzal Muhaimin bin Zaini pula berharap supaya bengkel yang telah dijalankan ini memberi pengetahuan kepada pelajar untuk menggunakan format APA yang betul semasa menulis tugasan dan tesis.
Beliau juga menegaskan bahawa bengkel sebegini amat diperlukan oleh pelajar supaya mereka mampu menjadi graduan yang kompeten dalam melakukan penulisan yang memenuhi piawaian bertaraf antarabangsa.
Maklumbalas daripada peserta-peserta daripada Pusat-Pusat Pengajian di USM menunjukkan bahawa bengkel ini adalah sesuatu yang dapat dilaksanakan lagi kerana ianya sangat penting dan memberi input yang dikehendaki mengenai format APA ini.
Bengkel tersebut telah dihadiri hampir 612 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Kampus Induk, Kejuruteraan dan Kesihatan, USM.
Teks & Foto : Profesor Madya Dr. Paramjit Singh Jamir Singh
- Created on .
- Hits: 588