USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ASS2020: USM IKTIRAF 219 WARGANYA YANG CEMERLANG DALAM PELBAGAI BIDANG PENCAPAIAN

KANGAR, PERLIS, 28 Mac 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dan Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (P&I) telah mengiktiraf pencapaian dan kejayaan cemerlang warga akademik dan bukan akademiknya dalam pelbagai bidang di Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2020 (MASS2020) edisi ke-20 di Mess Pegawai Kanan PDRM, di sini, malam ini.

IMG 3221

Berangkat memperkenan majlis, Tuanku Canselor USM, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan D.Y.M.M. Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid.

Majlis pada malam itu juga adalah pertama kali diadakan di luar Pulau Pinang iaitu di negeri Perlis Indera Kayangan, setelah ditangguhkan pada tahun lalu akibat pandemik wabak COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia.

Bagi ASS 2020 ini, jumlah keseluruhan pemenang adalah seramai 219, namun tidak kesemua pemenang dijemput untuk hadir secara fizikal untuk diraikan di majlis berkenaan.

Mengambil kira kapasiti ruang dewan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, jumlah pemenang yang dijemput hadir pada malam tersebut dihadkan kepada 46 orang penerima sahaja.

Terdapat empat kategori Anugerah Sanggar Sanjung yang diraikan pada malam itu, iaitu kategori Ketokohan (2 orang pemenang - Profesor Madya Dr. Oon Chern Ein [INFORMM] dan Profesor Dr. K. Sudesh Kumar [Pusat Pengajian Sains Kajihayat]); Kategori Penerbitan Jurnal yang terdiri daripada 205 orang pemenang; Kategori Geran Penyelidikan Antarabangsa seorang pemenang dan Kategori Paten seramai 11 pemenang.

IMG 3319

Anugerah-anugerah lain termasuk 11 orang pemenang untuk kategori Anugerah Pentadbir Sanjungan dan seorang pemenang masing-masing bagi Anugerah Pendidik Sanjungan, Anugerah Sanjungan Industri dan Anugerah Kepimpinan Masyarakat.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pemenang yang telah mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan pembelajaran, kepimpinan, pentadbiran, libatsama industri dan kepimpinan masyarakat.

“Semua penerima ini telah menjalani tapisan yang ketat yang melihat kepada bukan sahaja kualiti dan kuantiti, malah juga impak kepada masyarakat dan negara,” kata Faisal Rafiq yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk MASS2020.

Menurut beliau juga, jumlah keseluruhan pemenang bagi ASS 2020 yang seramai 219 orang itu meningkat berbanding 195 pada tahun 2019 dan 158 pada tahun 2018, sekaligus menunjukkan prestasi USM saban tahun kian meningkat dengan menghasilkan kejayaan-kejayaan baharu.

Turut diselitkan acara Perasmian Ulang Tahun ke-50 Penerbit USM dan pelancaran buku berjudul Sirap Limau Ais: Memoir Seorang Pentadbir yang dirasmikan oleh D.Y.M.M. Tuanku Canselor.

IMG 3336

Pada majlis berkenaan juga turut meraikan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Yang Di-Pertua Negeri Melaka bersama isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman, yang mana Tuan Yang Terutama Tun adalah penerima Ijazah Kehormat di Sidang 1, Upacara Konvokesyen ke-59 USM pada keesokan harinya di Istana Arau, Perlis.

IMG 3346

Turut berangkat ke majlis, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Muda Perempuan, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Man dan isteri Yang Amat Berbahagia Datin Seri Nor Aswana Omar; wakil Ketua Menteri Melaka, EXCO Pelancongan, Kebudayaan, dan Warisan Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis; Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Dato’ Haji Hamdan Bahari dan isteri Datin Hajah Hasmah Mustafa; tiga Pro-Canselor USM - Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan; Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan bersama isteri Puan Sri Datin Noridah Nachara Hamat; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk MASS2020, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Timbalan-timbalan Naib Canselor USM yang lain, serta delegasi USM, kerajaan negeri Perlis dan Melaka.

-------------------

KONSEP DAN TEMA MAJLIS ANUGERAH SANGGAR SANJUNG 2020:

Tema yang dipilih adalah “USM: BERSAMA MEMIMPIN DALAM ERA REVOLUSI INDUSTRI 4.0”.

Ini adalah menepati hasrat USM dan seluruh warganya untuk bersama-sama berganding bahu dan menjadi pemacu dalam mendepani landskap baharu yang semakin mencabar di dalam era pendigitalan ini.

USM bersama-sama rakan industri di luar sana akan bersama menggembleng usaha dalam mencetuskan revolusi industri dalam memacu negara. Industri dan universiti hendaklah bergerak seiring dan saling bekerjasama erat dalam bidang kepakaran bagi membangunkan negara bangsa ini.

Tema ini juga merangkumi keseluruhan pembentukan strategi dan usaha kita di pelbagai peringkat lapisan dalam menghadapi perubahan industri yang sudah tentu akan membawa impak begitu besar kepada semua sektor termasuklah sektor pendidikan tinggi.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi & Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 483

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024