USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA UNIVERSITI DAN AKADEMIA PERLU KEKAL RELEVAN, TITAH DYMM TUANKU CANSELOR

IMG 3232

KANGAR, PERLIS, 28 Mac 2022 – Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah menyeru agar warga universiti dan akademia kekal relevan dalam memberi sumbangan terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

“Sumbangan itu bukan sahaja dapat melahirkan siswazah berkualiti dan berintegriti sebagai pemimpin masa depan tetapi juga untuk pihak berkuasa, pembuat dasar dan pelaksana dasar menerima idea dan pemikiran ilmuwan kita dalam melakukan perubahan,” titah baginda yang juga Raja Perlis semasa Majlis Anugerah Sanggar Sanjung (MASS2020) di Mess Pegawai Kanan PDRM,di sini, malam ini.

Turut berangkat ke majlis ini adalah Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid.

Tambah Tuanku Canselor, COVID-19 telah menjadi cabaran besar kepada seluruh dunia dan telah mengubah norma hidup yang ada, akan tetapi dengan dunia digital dan internet sekarang, kita nampaknya menjadi lebih kreatif dan inovatif menghadapi cabaran yang ada.

Baginda percaya masih banyak buah fikiran ilmuwan USM dalam pelbagai bidang untuk masyarakat yang dapat digunakan untuk melakukan perubahan, dan harapan baginda agar sumbangan ahli akademik dan ilmuwan USM dihargai dan dijadikan sumber rujukan dalam menyelesaikan masalah negara.

Baginda turut menzahirkan rasa sukacita kerana USM meneruskan acara penting MASS yang mengiktiraf pencapaian warga stafnya dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, penerbitan, penulisan, kreativiti, pendidikan, perkhidmatan, pentadbiran, libatsama industri dan komuniti.  

MASS2020 yang bertemakan USM: Bersama Memimpin dalam Era Revolusi Industri 4.0, telah dilangsungkan kembali pada tahun ini selepas dua tahun ditangguhkan akibat penularan wabak COVID-19.

IMG 3328

Pada majlis tersebut, DYMM Raja Perlis turut menyampaikan Anugerah Sanggar Sanjung kategori Ketokohan dan turut berkenan menyempurnakan Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-50 Penerbit USM serta buku berjudul Sirap Limau Ais: Memoir Seorang Pentadbir.

Selain kategori Ketokohan, terdapat tiga lagi kategori Anugerah Sanggar Sanjung yang diraikan pada malam tersebut iaitu kategori Penerbitan Jurnal, kategori Geran Penyelidikan Antarabangsa dan kategori Paten yang disampaikan oleh Pro-pro Canselor USM.

IMG 3289

 IMG 3306

Anugerah-anugerah lain pula terdiri daripada Anugerah Pendidik Sanjungan, Anugerah Pentadbir Sanjungan, Anugerah Sanjungan Industri dan Anugerah Kepimpinan Masyarakat.

Turut hadir, Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman; Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Muda Perempuan, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Man dan isteri Yang Amat Berbahagia Datin Seri Nor Aswana Omar; wakil Ketua Menteri Melaka, EXCO Pelancongan, Kebudayaan, dan Warisan Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis; Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Dato’ Haji Hamdan Bahari dan isteri Datin Hajah Hasmah Mustafa; tiga Pro-Canselor USM - Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan; Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan bersama isteri Puan Sri Datin Noridah Nachara Hamat; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; serta delegasi daripada USM, kerajaan negeri Perlis dan Melaka.

Anugerah Sanggar Sanjung mula diperkenalkan pada tahun 2001, dan ia merupakan majlis khusus untuk meraikan dan mengiktiraf pencapaian dan sumbangan warga staf dalam mengharumkan nama USM dengan kecemerlangan usaha mereka di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 493

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024