USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SANJUNGAN BUDI KILAUAN BAKTI, KETUA PUSTAKAWAN USM DIRAI SELEPAS 36 TAHUN BERKHIDMAT

USM PULAU PINANG, 31 Mac 2022 – Ketua Pustakawan, Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM), Rugayah Ali dirai oleh seluruh warga Perpustakaan USM termasuk kepimpinan tertinggi universiti bersempena majlis hari persaraan beliau setelah 36 tahun menabur bakti di USM.

Majlis turut dihadiri Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan barisan kepimpinan universiti yang bersama-sama meluangkan masa meraikan hari persaraan Rugayah Ali, menyifatkan persaraan beliau merupakan kehilangan besar buat universiti di atas jasa dan komitmen beliau selama tempoh perkhidmatan tersebut.

FE8D784F 33BD 4B46 A85C D59157F95677

Faisal Rafiq berkata, persaraan Rugayah Ali sememangnya memberi kesan buat universiti memandangkan pengalaman dan kemahiran beliau dalam selok belok kepustakawanan amat tinggi dan sukar dicari ganti.

“Saya mewakili seluruh warga kerja USM ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih tidak terhingga buat Ketua Pustakawan, Puan Rugayah Ali di atas khidmat bakti beliau mencurahkan segala keringat dan kepakaran termasuk beberapa inovasi yang dilakukannya buat perpustakaan USM dalam sektor perkhidmatannya kepada pelajar dan seluruh warga kampus,” kata beliau di majlis Persaraan Ketua Pustakawan USM yang diadakan di Perpustakaan Hamzah Sendut, USM.

Tambah beliau, 36 tahun berkhidmat buat universiti merupakan tempoh yang cukup lama dan setinggi-tinggi tahniah buat Rugayah Ali kerana mampu berkhidmat selama tempoh itu untuk menabur bakti buat universiti.

Faisal Rafiq turut menggesa warga kerja USM supaya mencontohi legasi yang ditinggalkan beliau dan terus menggalas amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin demi memastikan misi dan visi yang ditetapkan Perpustakaan USM tercapai dengan jayanya.

Pada majlis yang sama, Rugayah Ali turut mengucapkan syukur tidak terhingga di atas peluang dan pengalaman yang berharga sepanjang perkhidmatannya di USM dan berjaya mengharungi onak duri menikmati kemanisan sepanjang menggalas amanah dalam perkhidmatan sebagai pentadbir di USM.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada suami kerana memahami dan menyokong kerjaya saya selama ini, Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti serta ketua-ketua jabatan atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya.

“Paling tidak dilupakan adalah seluruh warga Perpustakaan USM termasuk mantan Ketua Pustakawan yang banyak memberi tunjuk ajar serta semua staf yang telah memberikan komitmen yang tinggi dan kerjasama mantap dalam menjayakan misi dan visi perpustakaan selaras dengan moto ‘Berilmu, Amanah, Progresif’ sepanjang saya menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Pustakawan ke-10 USM,” jelas beliau lagi.

Rugayah Ali memulakan perjalanan karier beliau di USM tanggal 16 Mei 1986 dan pada masa tersebut beliau menjawat sebagai Pegawai Tadbir universiti.

55C557D7 91C5 4EEA 9E11 2136945A1351

Seterusnya tahun 1987 beliau telah dihantar ke Kampus Cawangan Kelantan untuk bertugas di Perpustakaan Perubatan USM.

Setahun kemudian Rugayah dihantar mengikuti Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang Sains Perpustakaan selama setahun untuk melayakkan dirinya menjawat sebagai Pustakawan.

Bermula dari situlah beliau menggamit 20 tahun pengalaman asam garam dalam perkhidmatan perpustakaan kepada pengguna yang terdiri daripada staf dan pelajar dari Pusat Pengajian Sains Perubatan dan staf Hospital USM.

Sehinggalah tahun 2007, Rugayah dinaikkan pangkat dan dipindahkan semula ke kampus induk kemudian kembali ke Perpustakaan Hamdan Tahir, Kelantan sehinggalah pada tahun 2018 menjawat jawatan tertinggi di dalam perpustakaan USM iaitu sebagai Ketua Pustakawan di Perpustakaan Hamzah Sendut, kampus induk USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 553

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024