IMARAHKAN MASJID SEPANJANG RAMADHAN
PULAU PINANG, 4 Julai 2013 - Semua staf dan juga qariah Universiti Sains Malaysia (USM) dijemput dan disarankan untuk mengimarahkan Masjid al-Malik Khalid sepanjang bulan Ramadhan kali ini.
“Semua anak qariah adalah dijemput bukan sahaja untuk Iftar (berbuka puasa) dan solat sunat Tarawikh malah untuk Tadarrus (membaca Al-Quran) dan juga Qiyamullail (bangun malam mengerjakan solat) yang akan diadakan 10 malam pertama dan terakhir di Pusat Islam.
“Kita amat bertuah pada tahun ini kerana seorang Imam Besar Makkah, Syeikh Ahmad Hamd Al-Sa’id Ali’ Abd Al-Qadir akan berada bersama-sama kita di sini sepanjang bulan Ramadhan,” kata Pengarah Pusat Islam USM, Prof. Madya Hj. Nasirun Hj Mohd Saleh.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Prof. Dato’ Dr. Omar Osman, Naib Canselor USM sempena Ceramah ‘Ahlan Ya Ramadhan’ yang dianjurkan oleh Pejabat Perhubungan Awam dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
Ceramah tersebut yang mengupas persedian dan amalan semasa Ramadhan telah disampaikan oleh juara Imam Muda musim ketiga, Abdul Jabbar Mohammed Kahar yang lebih dikenali sebagai Imam Muda Jabbar.
“Perbanyakkan amalan semasa Ramadhan, bertadarrus,memberikan sedekah Iftar, Qiyamullail dan juga beriktikaf,” kata beliau yang sekarang bekerja sebagai Penolong Pensyarah, Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.
“Semasa berbuka, Rasullah S.A.W. mengamalkan makan Rotab (kurma jenis basah) atau Tamar (kurma) ataupun hanya air kosong,” tambah Jabbar.
Beliau juga mengingatkan supaya kita semua menjadi lebih aktif di bulan Ramadhan dan mengimbas kembali aktiviti Rasullullah S.A.W. yang menempuh dua kali perang semasa bulan puasa iaitu Perang Badr dan juga Perang Tabuk.
Turut hadir ialah Ismail Taib, Pengurus Kanan Alliance Management, BIMB. -- Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1601