USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENERBIT USM TERUS GAH, SAMBUT ULANG TAHUN KE-50 PENUBUHAN

 

IMG 3326

KANGAR, 29 Mac 2022 - Sambutan Jubli Emas Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) melambangkan iltizam warga Penerbit USM selama lima dasawarsa dalam pembangunan intelek serta penyebaran ilmu merentas sempadan.

Demikian antara metafora yang dapat diperhalusi ketika Pelancaran Ulang Tahun Penerbit USM ke-50 yang telah dilancarkan oleh Tuanku Canselor USM, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al- Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika Majlis Anugerah Sanggar Sanjung (MASS) 2020 yang berlangsung kelmarin di MESS Pegawai Kanan PDRM, Kangar.

Menurut Pengarah Penerbit USM, Prof. Madya Dr. Nazarudin Zainun, sejajar dengan visi dan misi USM, sehingga tahun 2022 sebanyak 14 jurnal terbitan Penerbit telah diindeks dalam pangkalan data Scopus dan 11 jurnal diindeks dalam Web of Science (WoS) yang merupakan salah satu pangkalan data rujukan terbesar dan utama dunia.

“Selain penerbitan jurnal terindeks, Penerbit USM telah berjaya menerbitkan hampir 900 judul buku dan sejarah gemilang terus dilakar apabila Penerbit USM memenangi pelbagai anugerah,” jelasnya.

Tambahnya, kejayaan ini meningkatkan keterlihatan buku-buku dan jurnal terbitan Penerbit USM di persada antarabangsa dalam pelbagai bidang dan menjadi rujukan penyelidik dari serata dunia. 

“Pencapaian ini secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan ilmu dan memanfaatkan pelbagai golongan di serata dunia,” katanya lagi.

Aktiviti penerbitan Universiti Sains Malaysia bermula pada tahun 1972 dengan tertubuhnya Penerbit Universiti Sains Malaysia di bawah Jabatan Perpustakaan. 

Pada mula penubuhannya, urusan penerbitan dilaksanakan oleh kakitangan perpustakaan secara sambilan. 

Semua dasar dan peraturan Penerbit Universiti Sains Malaysia ditentukan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti (JPU) yang merupakan sebuah Jawatankuasa Tetap Senat. 

Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab mempertimbangkan permohonan untuk menerbitkan buku yang diterima daripada pengarang dan pusat-pusat pengajian.

Semua aktiviti penerbitan yang dijalankan dibiayai daripada peruntukan tahunan Universiti. Buku pertama Penerbit Universiti Sains Malaysia, Sesayup Jalan (Zurina Hassan) diterbitkan pada tahun 1974. 

Sehingga November 2010, Penerbit Universiti Sains Malaysia telah berjaya menerbitkan lebih 700 tajuk penerbitan.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung adalah Pelancaran Buku Sirap Limau Ais : Memoir Seorang Pentadbir yang turut dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor USM.

Turut berangkat ke majlis ini adalah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid; Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Rustam dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman; Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Bin Man, Menteri Besar Perlis dan isteri Yang Amat Berbahagia Datin Seri Nor Aswana Binti Omar; Yang Berhormat Datuk Muhammad Jailani Khamis, EXCO Pelancongan, Kebudayaan, dan Warisan Melaka mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka; Yang Berhormat Dato’ Haji Hamdan Bahari, Speaker, Dewan Undangan Negeri Perlis dan isteri Yang Berbahagia Datin Hajah Hasmah Binti Mustafa; Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Mustafa Mansur Pro-Canselor, Universiti Sains Malaysia; Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ M. Jegathesan Pro-Canselor, Universiti Sains Malaysia; Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Zulkefli A. Hassan Pro-Canselor, Universiti Sains Malaysia dan isteri Yang Berbahagia Puan Sri Datin Noridah Nachara Hamat; Yang Berbahagia Datuk Dr. Awang Adek Bin Hussin Pengerusi Lembaga Gabenor USM; Yang Berbahagia Profesor Dato. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia dan isteri Yang Berbahagia Datin Mazarisusanty Ibrahim; dan delegasi daripada USM, kerajaan negeri Perlis dan Melaka.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

 

  • Created on .
  • Hits: 660

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024