USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UPACARA KONVOKESYEN KE-59 USM: YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA TERIMA ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT DOKTOR EKONOMI PEMBANGUNAN

2562E655 183A 4CA7 AD46 CDBEE9031979

Upacara Konvokesyen ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM) akan bermula pada 29 Mac 2022 (Sidang 1) di Istana Arau, Perlis dan diikuti dengan sidang kedua hingga kedua belas, bermula pada 21 Mei hingga 31 Mei 2022 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.

Canselor USM, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah berkenan untuk mempengerusikan sidang pertama pada hari Selasa, 29 Mac 2022, jam 10.30 pagi di Istana Arau, Perlis.

Sidang Pertama ini adalah untuk meraikan penerima Ijazah Kehormat, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, yang akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan (Honorary Doctor of Development Economics – Hon. D. Dev. Econs).

Penganugerahan ini sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan Universiti terhadap sumbangan TYT Tun yang cemerlang dalam bidang ekonomi yang telah mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

TYT Tun yang juga Alumni Terbilang USM terkenal dengan ketokohannya dan banyak menyumbang kepada aspek kemajuan ilmu, perkembangan dan penyebaran pengetahuan serta kepakaran.

Pencapaian beliau telah membuktikan bahawa graduan dalam bidang Sains Sosial boleh menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara secara menyeluruh, seiring dengan falsafah dan ilmu Sains Sosial bagi menghasilkan pemimpin yang berwibawa dan disegani.

USM turut menzahirkan rasa bangga kerana TYT Tun menjadi Alumni USM pertama yang telah mengharumkan nama Universiti apabila dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Melaka ke-7 dan terkini sejak tahun 2020, satu kedudukan paling tinggi dalam negeri.

Beliau juga telah mengharumkan nama Universiti dengan menerajui negara di pelbagai peringkat jawatan kerajaan dan jawatan politik sehingga dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-9.

Dalam pada itu, Upacara Konvokesyen ke-59 ini turut meraikan sejumlah 6,706 graduan yang akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Tinggi (Ph.D dan Sarjana 2,231), Ijazah Sarjana Muda (4,425) dan Diploma Kejururawatan (50).

Upacara Konvokesyen ke-59 USM bagi Sidang Kedua (2) hingga Sidang Kedua Belas (12) pada Mei depan akan dipengerusikan oleh Pro-Pro Canselor USM iaitu Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A.Hassan.

Untuk S2 hingga S12 di DTSP, penganugerahan ijazah-ijazah akan dijalankan secara satu sesi setiap hari dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Pecahan sidang bagi Upacara Konvokesyen Ke-59 (S2-S12) akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

D.Y.M.M. Tuanku Canselor juga telah memperkenan untuk berangkat bagi menyempurnakan Majlis Anugerah Sanggar Sanjung USM pada hari Isnin, 28 Mac 2022, jam 9.30 malam di Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia, Kangar, Perlis.

AnugerahSanggarSanjung merupakan acara berprestij Universiti yang mengiktiraf dan meraikan para penyelidik, pendidik dan pentadbir USM yang menunjukkan ketokohan dan kecemerlangan dalam menabur bakti kepada Universiti. 

Penganugerahan ini turut menjadi inisiatif  Universiti dalam memartabatkan pencapaian para karyawan USM, baik pensyarah mahupun para pentadbirnya yang diiktiraf di dalam negara mahupun di pentas dunia.

 

PROFESOR DATO’ DR. FAISAL RAFIQ MAHAMD ADIKAN, FASc. 

Naib Canselor USM 

Upacara Konvokesyen Ke-59 USM  I  Jumaat, 25 Mac 2022

  • Created on .
  • Hits: 745

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024