USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAJLIS ANUGERAH SANGGAR SANJUNG: IKTIRAF DAN RAI WARGA USM YANG TABUR BAKTI, HARUMKAN NAMA UNIVERSITI

851C1AA8 2217 4CDC 9FA2 A5EEEF6CC0A4

USM PULAU PINANG, 2
4 Mac 2022 – Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2020 (MASS2020) kali ke-20 Universiti Sains Malaysia (USM) akan diadakan pada 28 Mac 2022, bertempat di Mess Pegawai Kanan PDRM, Kangar, Perlis.

Bertemakan USM: Bersama Memimpin dalam Era Revolusi Industri 4.0, acara berprestij ini meneruskan tradisi Universiti mengiktiraf dan meraikan para penyelidik, pendidik dan pentadbir USM yang menunjukkan ketokohan dan kecemerlangan dalam menabur bakti kepada Universiti, serta mengharumkan nama USM di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa di sepanjang tahun 2020.

MASS2020 meraikan 219 orang pemenang, akan tetapi akibat wabak COVID-19 yang sedang melanda pada masa ini, kehadiran pemenang yang dijemput adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu seramai 46 pemenang mengikut kategori anugerah.

Terdapat empat kategori Anugerah Sanggar Sanjung yang bakal diraikan pada malam tersebut iaitu Kategori Penerbitan Jurnal, Kategori Geran Penyelidikan Antarabangsa, Ketegori Paten dan Kategori Ketokohan.

Anugerah-anugerah lain pula terdiri daripada Anugerah Pendidik Sanjungan, Anugerah Pentadbir Sanjungan, Anugerah Sanjungan Industri dan Anugerah Kepimpinan Masyarakat.

Turut diselitkan dalam majlis tersebut acara perasmian ulangtahun ke-50 Penerbit USM dan pelancaran buku berjudul Sirap Limau Ais: Memoir Seorang Pentadbir.

Pada majlis berkenaan juga akan turut meraikan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Yang Di-Pertua Negeri Melaka bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman, yang mana Tuan Yang Terutama Tun adalah penerima Ijazah Kehormat di Sidang 1, Upacara Konvokesyen ke-59 USM pada keesokan harinya di Istana Arau, Perlis.

Anugerah Sanggar Sanjung yang mula diperkenalkan pada tahun 2001 diharapkan bukan sahaja dapat meraikan malah dapat memartabatkan kejayaan kolektif dan kecemerlangan peribadi individu menerusi kegigihan semangat, dedikasi berterusan, diiringi kreativiti dan inovasi yang sesungguhnya membanggakan jabatan dan organisasi.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi  

  • Created on .
  • Hits: 599

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024