ARKEOLOGI DI TANAH TINGGI SUMATERA
PULAU PINANG, 4 Julai 2013 – Bukti kukuh tentang hubungan ekonomi dan sosial antara kawasan tanah tinggi dan tanah rendah di Sumatra telah ditemui dalam ekskavasi arkeologi, kata Dr. Mai Lin Tjoa-Bonatz, seorang Penyelidik Pemerhati (Research Associate) dari Freie Universität, Berlin, Jerman.
"Kami bermula dengan dua projek di kawasan Kerinci di Tanah Tinggi Sumatera kira-kira 10 tahun yang lalu untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang pembangunan penempatan dan corak mereka di rantau ini dari zaman prasejarah sehingga zaman pra-kolonial," katanya ketika menyampaikan syarahan umum arkeologi bertajuk ‘Settlement Archaeology in the Highlands of Sumatra, Indonesia’ hari ini yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM).
Tapak tersebut yang terletak di wilayah Jambi, adalah projek pertama untuk mewujudkan penyelidikan arkeologi yang sistematik di kawasan tanah tinggi untuk mendapatkan bukti petempatan yang mengamalkan kehidupan tidak merantau sejak awal abad kedua SM.
Tambah Mai Lin lagi, antara abad ke-10 dan ke-14, telah wujud perkampungan berkelompok yang padat di sekitar Bukit Gombak melalui banyak bukti penemuan hasil tempatan seperti barangan tembikar, megalit, tapak pemprosesan emas dan logam dan juga barangan seramik yang berasal dari negara Cina, Siam, Burma, Parsi dan beberapa negara Asia Tenggara yang lain.
“Ini juga menunjukkan penduduk awal di perkampungan tersebut telah giat menjalankan perniagaan dengan pedagang asing yang datang dari pelbagai negara rantau Asia berdasarkan artifak yang dijumpai itu sekaligus menjadikan ia pusat perdagangan yang penting di rantau ini,” katanya.
Selain itu, melalui penggalian yang dijalankan, tapak perkuburan juga ditemui namun sehingga kini tiada tinggalan manusia dijumpai kerana faktor keasidan tanah.
Mai Lin kini terlibat dalam projek arkeologi ‘Tanah Datar’, yang cuba membentuk kembali corak petempatan awal dan budaya hidup awal penduduk Minangkabau di tanah tinggi Sumatera Barat.
Turut hadir ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Profesor Dr. Mokhtar Saidin, pensyarah PPAG Profesor Madya Dr. Stephen Chia Ming Soon, dan Profesor Kunjungan Profesor Dr. Hamzah Mohamad. -- Teks dan Foto: Yong Check Yoon/Terjemahan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1117