USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MUHAMAD HUZAIFAH OMAR BERJAYA MEMPEROLEH BIASISWA YANG DI-PERTUAN AGONG

E16322E2 D0C7 4947 BF75 F831F9978EBF
PULAU PINANG, 15
Mac 2022 – Pelajar Sarjana semester ketiga, Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM), Muhamad Huzaifah Omar berjaya menjadi salah seorang daripada 10 penerima Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan mengurniakan biasiswa tersebut pada 9 Mac yang lalu, di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Biasiswa yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 ini mempunyai beberapa garis panduan serta kriteria khusus sebelum mana-mana pelajar memohonnya.

Pelajar siswazah tersebut mestilah bergraduat dengan ijazah kelas pertama, mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya dua bahasa yang berlainan, kertas cadangan penyelidikan yang sangat bagus, dan menunjukkan prestasi yang cemerlang semasa sesi temuduga.

Namun begitu, mempunyai Ijazah kelas pertama sahaja tidak menjamin pelajar tersebut akan berjaya memperoleh biasiswa ini dan ianya mesti selari dengan pencapaian cemerlangnya yang lain.

Muhamad Huzaifah ketika ditemu bual berkata, keluarga serta penyelia akademiknya iaitu Dr. Hairul Hisham Hamzah, merupakan antara individu yang sering memberi dorongan dan menjadi tunjang utama kejayaan yang dikecapinya itu.

“Nasihat saya kepada pelajar di luar sana adalah untuk terus percaya pada diri sendiri, dan cuba menggenggam segala peluang yang ada di luar sana,” tambahnya ketika menceritakan tentang faktor kejayaannya yang mungkin boleh dijadikan sebagai contoh kepada pelajar lain.

Selain itu, dia turut kongsikan bersama hasrat atau harapannya untuk menabur bakti kepada negara yang tercinta, khususnya di dalam bidang sains kimia.

Turut ditemu bual, Dr. Hairul Hisham Hamzah, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia dari bahagian Kimia Analisis, yang mana beliau kongsikan bahawa Muhamad Huzaifah merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan menunjukkan minat yang sangat mendalam terhadap penyelidikan beliau, iaitu biosensor asid nukleik berasaskan elektrod cetakan tiga dimensi (3D) untuk pemantauan biomarker kanser.

Tambah beliau, “Harapan saya kepada saudara Huzaifah, agar dia menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan menamatkan pengajian Sarjana secara penyelidikannya dengan cemerlang.”

“Manakala harapan saya kepada pelajar siswazah USM yang lain, sekiranya pelajar tersebut memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, diharap pelajar tersebut memohon biasiswa ini.”

Di samping itu, Hairul Hisham juga berharap para penyelia memainkan peranan mereka sebaiknya dalam memurnikan kertas cadangan penyelidikan pelajar, dan sekiranya terpilih untuk sesi temuduga, penyelia pelajar tersebut boleh membantu pelajar berkenaan dalam menambah baik dan memperlancar pembentangan projek penyelidikan pelajar tersebut.

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Poster: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 624

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024