USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TUAN RUMAH KEJOHAHAN SEPAK TAKRAW PIALA PENANG2030, HIDUPKAN KEMBALI SUKAN TRADISIONAL, SERLAH BAKAT-BAKAT BAHARU

USM PULAU PINANG 12 Mac 2022 - Gelanggang Sepak Takraw, Kompleks Sukan Azman Hashim Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjadi medan pertarungan 32 regu pasukan sepaktakraw dari seluruh negara dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Penang2030 Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.  

CDH 4423

Kejohanan sehari yang dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Sepak Takraw Daerah Timur Laut Pulau Pinang telah dirasmikan oleh YAB Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, tengah hari ini di sini.

Kon Yeow dalam ucapan perasmian mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan urus setia Kejohanan Sepak Takraw Piala Penang2030 dan Persatuan Sepaktakraw Daerah Timur Laut kerana telah berjaya menganjurkan program sebesar ini.

“Saya ingin juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan USM kerana memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk penganjuran kejohanan di Kompleks Sukan Azman Hashim di sini,” katanya.

Beliau berharap akan lebih banyak lagi kerjasama antara kedua-dua pihak di masa hadapan, tambahan pula dengan kelengkapan serta fasiliti sedia ada, banyak lagi acara-acara lain yang boleh dimasukkan dalam agenda pelancongan sukan negeri.

“Secara umumnya, sepak takraw merupakan sukan tradisional yang kian terpinggir, terutamanya dalam kalangan belia dan remaja. Diharap platform sebegini dapat menyerlahkan bakat-bakat baharu yang mampu menyinar di masa hadapan.

Saya juga terharu dengan sokongan serta kesudian para veteran dan lagenda sepak takraw negara untuk hadir di program pada hari ini.

Sesungguhnya kehadiran anda semua memberi titik semangat kepada kami dalam usaha Kerajaan Negeri merealisasikan Visi Penang2030, iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya.

“Saya difahamkan bahawa penganjuran kejohanan ini merupakan kejohanan besar yang pertama kali diadakan di Kompleks Sukan Azman Hashim USM selepas kejohanan Majlis Kebajikan Sukan dan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Kebangsaan pada tahun 2018.

Malah, kejohanan ini juga merupakan program pertama Kerajaan Negeri yang diadakan dalam kampus USM setelah siapnya pembinaan kompleks ini pada tahun 2015.

“Penganjuran ini merupakan julung kali Kejohanan Sepak Takraw Piala Penang 2030 selepas kita melalui beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) – Fasa 4 dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambah beliau.

Kejohanan kali pertama ini amat menggalakkan dengan penyertaan 32 pasukan dari negeri ini dan seluruh negara termasuk Kedah, Perlis, Perak, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur, malahan tidak ketinggalan pasukan dari Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut mengambil bahagian.

3C03986E 1E92 4C47 8530 086F38B255FA

Keunikan pertandingan kali ini dapat dilihat apabila setiap pasukan disyaratkan untuk menghantar seorang wakil atau peserta berumur antara 18 hingga 21 tahun.

Turut hadir di majlis perasmian ialah Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Tuan Haji Idrus Rafie; dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Daerah Timur Laut, Tuan Haji Mokhtar Sheriff; serta para veteran dan lagenda sepaktakraw Pulau Pinang.

Dalam kejohanan ini pasukan Kerinchi Club dari Kuala Lumpur telah dinobatkan selaku juara dengan menggondol hadiah wang tunai RM3,000;naib johan pasukan Fenhas dari Pulau Pinang yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500manakala pasukan Lions Team dari Perlis dan pasukan Persatuan Sepaktakraw Larut Matang (PSTLM) dari Perak menduduki secara bersama tempat ketiga yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Teks: Zamzami Rasidi/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 652

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024