USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TERUS MARTABATKAN BAHASA MELAYU DALAM PENULISAN

usmgsbee1

PULAU PINANG, 3 Julai 2013 - Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal menyeru lebih ramai akademia untuk menulis buku dan karya di dalam Bahasa Melayu (BM).

"Walaupun pada masa sekarang penulisan di dalam Bahasa Inggeris lebih mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi (IPT), cabarkan diri untuk menulis di dalam bahasa ibunda kita dalam usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kita," kata Shukri.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Bengkel Penulisan Buku yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini dan disertai oleh lebih kurang 20 orang pensyarah daripada Pusat Pengajian Pengurusan (PPP) dan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan.

Menurut Editor Kanan DBP yang juga fasilitator bengkel ini, Rokiah Nordin, kerjasama di antara IPT dan DBP diharap dapat menjadi batu loncatan kepada pensyarah untuk menulis dan berkarya kerana jika tidak, DBP kekurangan bahan penulisan untuk percetakan.

"Saya berasa bangga dengan penerbitan 15 buah buku di dalam bidang perubatan menggunakan Bahasa Melayu yang dihasilkan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Sains Perubatan. Ini banyak membantu menghasilkan bahan bacaan dalam kategori umum dan boleh dibaca oleh pelbagai peringkat umur dan latar belakang," ulas Rokiah mengenai buku-buku yang dilancarkan tahun lalu.

DSC 0040

Bengkel seperti ini adalah salah satu cara untuk peserta mendapat pencerahan mengenai tugas dan kriteria penulisan yang baik dan ianya adalah pendekatan yang digunakan DBP untuk menggalakkan penulisan dalam Bahasa Melayu yang boleh diterbitkan.

Turut serta di dalam bengkel ini adalah pensyarah PPP Prof. Dato' Dr. Ishak Ismail yang juga salah seorang ahli jawatankuasa pakar rujuk bidang bagi penerbitan buku di DBP. -- Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa.

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1933

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024