MANFAATKAN KOMUNIKASI ATAS TALIAN
PULAU PINANG, 3 Julai 2013 - Para pentadbir akademik dan pelajar universiti wajar memanfaatkan komunikasi atas talian bagi meningkatkan kecekapan kerja dan keberkesanan kos.
Hal ini dinyatakan oleh profesor dalam bidang sosial dan pengurusan farmasi yang juga "associate dean of research and graduate studies" Fakulti Sains Farmasi University Qatar, Profesor Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim dalam syarahannya bertajuk 730 Days at Qatar University anjuran Pusat Imovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PiPPA).
Mohamed Izham adalah alumni USM dan berkhidmat selama 17 tahun dengan USM sebelum membuat keputusan merantau dan berkongsi kepakaran di peringkat antarabangsa dengan berkhidmat di sebuah universiti di Arab Saudi sebelum bertugas di Universiti Qatar pada tahun 2011. Beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Dekan di Pusat Pengajian Sains Farmasi dan pernah juga menjadi Pengarah Bahagian Pembangunan Korporat USM.
Menurut Mohamed Izham, semua pelajar di Universiti Qatar dibekalkan dengan komputer dan komunikasi dilakukan sepenuhnya secara atas talian termasuk dalam urusan peperiksaan, penyediaan bahan kuliah yang perlu dimuat naik paling lewat sehari sebelum kuliah untuk pelajar membuat persediaan, berkomunikasi dengan pensyarah secara atas talian dan juga perlu memastikan bahan-bahan yang perlu termasuk sebaran maklumat dilakukan melalui cara yang sama.
Tambahnya lagi, para pensyarah misalnya perlu membuat penilaian peperiksaan dan memuat naik keputusan ujian mahupun kuiz dan peperiksaan dalam tempoh 48 jam.
Menurut Mohamed Izham, malahan juga semua pencapaian dan usaha yang dibuat oleh staf akademik termasuk kerja penyelidikan dan pembentangan kertas kerja dimasukkan maklumat di atas talian dalam program yang dikenali sebagai Black Board (BB9) sebagai kaedah utama komunikasi di sini melalui pelaksanaan dasar tidak menggunakan kertas dalam urusan pentadbiran dan pengurusannya, termasuk untuk tujuan mesyuarat.
Penggunaan komunikasi atas talian ini juga memudahkan kami untuk membuat laporan tahunan dan penilaian secara objektif dan telus, malah objektif dan matlamat kerja sememangnya telah ditetapkan untuk dicapai melalui satu proses kerja yang jelas," jelas Mohamed Izham lagi.
Bekerja di sebuah negara kecil terkaya di dunia itu dengan penduduk sekitar 2 juta orang itu memberikan pengalaman peribadi yang sangat bermakna kepada Mohamed Izham.
"Komunikasi dalam talian ini menjadikan masa benar-benar terisi dan jelas dalam apa yang perlu dilaksanakan, tidak membuang masa dengan hal-hal yang tidak berfaedah, malah masa kerja digunakan sepenuhnya untuk pelbagai tujuan, apatah lagi menjadi satu budaya di sana, tidak melakukan aktiviti rasmi selepas waktu pejabat, tidak diganggu dengan panggilan telefon, apatah lagi pada waktu malam dan hari cuti kerana mereka berpegang kepada memanfaatkan waktu untuk keluarga pada waktu-waktu di luar waktu pejabat," kata Mohamed Izham.
Tambahnya lagi, namun begitu komunikasi melalui emel berjalan berterusan walau pun selepas waktu pejabat dan yang pentingnya waktu yang ada dimanfaatkan dengan membuat perancangan dan persediaan-persediaan termasuk untuk penyelidikan.
Sehubungan itu juga, Mohamed Izham menyeru agar para pensyarah dan penyelidik USM mengadakan kolaborasi penyelidikan dengan rakan-rakan ahli akademik dari University Qatar kerana mereka mempunyai dana besar dan bersedia untuk tersebut walaupun penyelidik utama perlu dari dalam kalangan rakyat tempatan.
"Mereka sangat teliti dari segi perancangan usaha pembangunan akademik, penerbitan dan penyelidikan yang perlu memenuhi keperluan masa hadapan dan pembangunan negara tersebut dan dunia Arab selaras dengan Misi Qatar 2030, Qatar National Research Strategy dan bidang keutamaan penyelidikan universiti dalam mengukuhkan Taman Penyelidikannya," kata Mohamed Izham.
Antaranya ialah penyelidikan tentang penyakit seperti diabetes dan keselamatan jalan raya yang menjadi keperluan mendesak Qatar, jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, semua hasil kerja ahli akademik ini akan dipaparkan secara atas talian dan mereka perlu memaklumkan kepada fakulti tentang kejayaan mereka dan tugas dekan adalah untuk menghantar ucapan tahniah untuk makluman semua dan beritanya akan dipaparkan dalam laman web yang ditulis oleh fakulti.
Ditanya tentang kemungkinan kesan daripada komunikasi atas talian yang boleh menyebabkan kurangnya komunikasi antara peribadi dalam kalangan pensyarah, pentadbir dan warga kampus, Mohamed Izham menafikan kemungkinan ini.
"Kami masih berkomunikasi dalam mesyuarat yang diadakan, perjumpaan sosial dan komunikasi bersemuka, hanya tidak membuang masa semasa waktu kerja sebaliknya lebih berfokus kepada tugas yang ada," katanya lagi.
Universiti Qatar ditubuhkan pada tahun 1973 dengan kira-kira 31,000 orang pelajar dan 24 program akademik yang berhasrat untuk menjadi sebuah universiti model yang mempunyai taraf akademik dunia dengan mencari amalan terbaik.
"Walaupun pada dasarnya mereka lebih melihat kepada model Barat dalam penentuan piawai akademiknya, namun dalam hal yang berkaitan amalan terbaik Islam, mereka memandang tinggi kepada Malaysia sebagai contoh negara membangun yang berjaya," kata Mohamed Izham.
Kira-kira 40 orang pegawai dan pensyarah menghadiri sesi perkongsian pengalaman ini. Turut hadir ialah Pengarah PiPPA, Dr. Haji Musa Ali dan Felo PiPPA, Profesor Dr. Osman Mohamad. -- Teks/Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 4007