USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT USM DAN MYPOPI BERKOLABORASI DI BENGKEL LATIHAN SCIG

SAINS@BERTAM, 7 Mac 2022 – Unit Immunodefisiensi Primer, Institut Perubatan Dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan satu bengkel latihan “Subcutaneous Immunoglobulin (SCIG) Replacement Therapy” kolaborasi bersama Persatuan Pesakit Imunodefisiensi Primer Malaysia (MYPOPI).

Rawatan ini merupakan teknik yang pertama di USM dan kedua di Malaysia, dan ini secara tidak langsung membuktikan kemajuan yang memberangsangkan dalam perawatan kepada pesakit Immunodefisiensi Primer (PID) di Malaysia.

Dr. Intan Juliana Abd Hamid (Pakar Pediatrik Imunologi dan Alergi) merupakan penceramah pada hari tersebut, yang mana bengkel ini dibuat secara dalam talian dan juga sesi ‘hands-on’, dan telah dihadiri seramai 74 peserta yang terdiri daripada kakitangan profesional kesihatan seperti Pakar Kanak-Kanak, Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih dan Pelajar Sarjana Perubatan Pediatrik, selain ibubapa pesakit.

DEDEE316 28EE 4DF9 819E 6D942918BA00

“Bengkel ini bertujuan meningkatkan pengetahuan staf mengenai rawatan penggantian imunoglobulin 'subcutaneous' melalui komunikasi berkesan, latihan dan pendidikan serta memberi kefahaman dan kesedaran kepada staf kesihatan terhadap kesan rawatan ini kepada pesakit kekurangan imun primer.

“Pesakit Imunodefisiensi Primer (PID) merupakan pesakit yang tidak dapat menghasilkan antibodi atau antibodi tidak dapat berfungsi, dan melalui rawatan penggantian imunoglobulin, ianya dapat membantu pesakit PID,” katanya.

Menurutnya lagi, terdapat beberapa kategori pesakit PID yang akan menerima rawatan ini antaranya pesakit yang tidak mempunyai sel B, ’combined immunodeficiency’ dan keadaan yang mana penghasilan antibodi adalah abnormal.

1EC161C5 54F1 4CA3 985D 7851018CE6AA

“Seterusnya, rawatan imunoglobulin ini berfungsi sebagai pencegah jangkitan kuman yang serius seperti sepsis dan pneumonia serta menyokong sistem imun pesakit PID dengan tambahan antibodi yang bertindak melawan jangkitan kuman,” tambahnya.  

Turut dinyata juga, bagi rawatan imunoglobulin terdapat dua keadah iaitu secara intravena atau subcutaneous; kaedah subcutaneous akan diberi pada setiap minggu dan ibu bapa boleh memberikannya di rumah, dan antara kelebihan rawatan imunoglobulin subcutaneous ialah paras IgG adalah stabil sepanjang 30 hari dan paras IgG “trough” adalah lebih tinggi bagi SCIG.

AB20E24C E3F0 419F B2C7 70785BCFE7AD

“Maka adalah sangat penting untuk kita diagnosis PID ini seawal mungkin; jika anak-anak anda mengalami gejala jangkitan kuman yang melampau atau kelainan bolehlah bertanya dengan doktor sama ada mereka mengalami PID atau tidak, agar dapat dirujuk supaya kita boleh menjalankan pemeriksaan lebih lanjut,” ujar Dr. Intan Juliana.

“Dengan itu, diharap usaha ini dapat menambah baik kualiti hidup pesakit PID yang menerima rawatan penggantian imunoglobulin bagi sepanjang hayat.”

Teks: Mahirah Mahyidin/Dr. Zarina Thasneem Zainudeen

  • Created on .
  • Hits: 703

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024