USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AZLINDA DILANTIK TNC HEPA USM BERKUATKUASA 1 MAC 2022

USM PULAU PINANG, 1 Mac 2022 – Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Azlinda Azman, dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM.

278E19CF 80AA 4655 8077 2D77F8BEB4D7
 
Perlantikan itu berkuatkuasa bermula 1 Mac 2022 sehingga 28 Februari 2025.

Azlinda menggantikan Profesor Dr. Aldrin Abdullah yang sebelum ini menjawat jawatan itu sejak 1 Mac 2019.

Berdasarkan rekod pencapaian, Azlinda yang merupakan alumni USM adalah profesor pertama dalam bidang Kerja Sosial di Malaysia.

Beliau seorang penerima anugerah biasiswa Fulbright bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam kerja sosial klinikal di New York University, New York, Amerika Syarikat.

Sebelum memegang jawatan ini, beliau merupakan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM dari 1 Januari 2016 sehingga 28 Februari 2022.

Azlinda banyak menyumbang kepakarannya dalam meningkatkan praktis dan pendidikan kerja sosial baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, khususnya melalui peranannya sebagai Presiden Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (Jun 2021 hingga Jun 2023) dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Kerja Sosial Kebangsaan Institut Pengajian Tinggi Awam, Malaysia sejak tahun 2009.

Beliau juga seorang ahli akademik yang terlibat secara aktif dalam pelbagai jawatankuasa dan badan-badan pertubuhan, antaranya selaku Ahli Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia; panel auditor Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk pembentukan dan penilaian program-program akademik dalam bidang Sains Sosial; panel auditor untuk Malaysian Research Assessment (MyRA), Kementerian Pengajian Tinggi; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Budi Penyayang; Ahli Lembaga Pelawat Penjara Malaysia; Ahli Pemikir dan Pakar Rujuk untuk agensi-agensi utama, khususnya berkaitan pembangunan dan kesejahteraan keluarga dan masyarakat.

Atas sumbangannya dalam bidang kerja sosial, Azlinda telah dianugerahkan IKON Akademia Kerja Sosial 2021 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 16 Mac 2021; Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan, Center for Women Leader Advancement and Leadership (CWAL), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 24 Januari 2022.  

Beliau juga telah dianugerahkan Pingat Bakti Setia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada November 2014 atas sumbangan beliau kepada pemulihan banduan di negara ini.

  • Created on .
  • Hits: 2333

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024