USM-PFS BEKERJASAMA PERKASAKAN BAKAT PELAJAR
Pulau Pinang, 1 Julai, Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia membantu Penang Free School (PFS), sekolah tertua di Asia Tenggara yang akan menyambut ulang tahun ke-200 pada tahun 2016 dan berjaya melahirkan ramai tokoh terbilang negara untuk menmperkasakan bakat dalam kalangan pelajar dan warganya pada masa hadapan.
Bercakap selepas perjumpaan pihak USM dengan PFS, Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, antaranya ialah untuk bekerjasama dalam program-program sukan dan rekreasi, akademik, bahasa serta seni dan budaya.
Omar adalah alumni PFS yang menjejakkan kaki di sana pada tahun 1971.
Menurut Omar lagi, "saya percaya kerjasama rapat ini dapat memajukan lagi kedua-dua institusi ilmu ini dan memaknakan erti hubungan universiti dengan sekolah dalam memperkasakan proses pendidikan negara.
Di dalam pertemuan singkat tersebut, beliau telah bertemu rakan sekelasnya yang juga Pengetua PFS, Jalil Saad serta sempat mengimbau kembali kenangan semasa melanjutkan pelajaran di sana.
Naib Canselor USM itu menyeru dan mempelawa semua staf PFS yang berjumlah 171 orang untuk melawat dan menerokai ilmu dan apa jua khazanah yang ada di dalam USM untuk faedah bersama.
“Datanglah ke USM dan kita akan membincangkan bidang-bidang yang boleh diterokai bersama seperti arkeologi, kelestarian selain sukan yang telah bekerjasama sekian lama,” kata Omar.
Selain itu, staf juga mungkin boleh mengembangkan ilmu serta melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurut Jalil, perjumpaan sebegini amat bermakna serta dapat mengenali antara satu sama lain untuk membuka minda dan peluang yang mungkin tidak kelihatan.
“Saya menyahut pelawaan NC untuk mengenali USM dengan lebih dekat serta menerokai bidang yang dinyatakan,” kata Jalil.
Tambahnya lagi, Omar adalah seorang yang sangat aktif dan merupakan pemain hoki di zaman persekolahan beliau.
USM dan PFS akan menandatangani Memorandum Persefahaman bagi memantapkan lagi kerjasama yang dibincangkan pada masa hadapan.
Turut hadir adalah Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Prof. Dr. Abdul Rashid Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Prof. Madya Dr Tengku Sepora Tengku Mahadi dan Pengarah, Pusat Sukan dan Rekreasi, Muhamad Mohd Hanif. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1423