PROGRAM #USMFIT RENCANA LEBIH BANYAK AKTIVITI PADA 2022
SAINS@BERTAM, 18 Februari 2022 - Program #USMFIT masih kekal aktif, dengan pelbagai program yang berjaya dijalankan sepanjang tahun 2021 lalu, walaupun negara masih berada di fasa pandemik COVID-19 yang juga melanda di peringkat global masa kini.
Program #USMFIT ini dinaungi Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim sebagai Penasihat.
Jawatankuasa Program ini dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr. Norehan Mokhtar, dengan Profesor Madya Dr. Ahmad Munir Che Muhamed sebagai Timbalan Pengerusi. Ahli jawatankuasa Program #USMFIT pula terdiri daripada gabungan staf USM Kampus Induk, Kampus Kesihatan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).
Menurut Norehan, selaku Pengerusi #USMFIT sepanjang tahun 2021, lebih kurang 14 program telah berjaya dijalankan di bawah beliau antaranya adalah 130K Steps Sustainability Challenge, RCE Penang Virtual Fun Run, World Radiography Day 2021, Virtual 120K Steps Challenge dan bermacam lagi program yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) bagi menjayakan program 'virtual challenge' ini.
“Selain itu, program ini bertujuan untuk membantu staf USM meningkatkan kesihatan dan mengekalkan kesejahteraan di tahap optimum bagi mengurangkan tekanan di tempat kerja mahupun di rumah dan sekaligus dapat memantau tahap kesihatan serta aktiviti fizikal staf,” tambah Norehan.
Katanya lagi, program #USMFIT ini disasarkan kepada golongan staf dan pelajar USM serta orang awam, dengan matlamat untuk memberi motivasi kepada semua golongan tentang betapa pentingnya menjaga kesihatan dan membudayakan gaya hidup lebih sihat.
Mengikut Norehan lagi, kelancaran dalam setiap program yang dijalankan sewaktu pandemik juga mendapat tempat dan sambutan dari warga USM, dan penggunaan aplikasi khas #USMFITActiv yang disediakan amat membantu dan memudahkan peserta.
“Lebih menarik, melalui aplikasi yang disediakan di bawah program #USMFITActiv, pengguna yang aktif juga boleh mendapatkan perkhidmatan bimbingan diet dari pakar-pakar nutrisi seperti kiraan kalori, diari pemakanan harian dan ini dipantau oleh pakar sepanjang tempoh program ini berjalan,” ujarnya lagi.
Dalam laporan tahunan #USMFIT yang disediakan, ada dinyatakan juga program yang berjalan dari bulan Januari sehingga Februari 2022 turut mendapat kerjasama Penerbit USM, sempena sambutan ke-50 tahun Penerbit USM iaitu program 50K Langkah Kempen Malaysia Negara Membaca, dengan tujuan utama untuk memupuk budaya hidup sihat sambil meningkatkan literasi kesihatan rakyat dan memperkasa penjagaan kesihatan kendiri untuk pencegahan penyakit.
Teks: Mahirah Mahyidin
- Created on .
- Hits: 556