USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MANTAPKAN RANGKA KERJA DAN PELAN PENGGANTIAN-NC

usmhimpon1

PULAU PINANG, 1 Julai 2013 - Naib Canselor (NC) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dr. Omar Osman menyeru supaya  mewujud dan merancang pelan penggantian (succession plan) di setiap peringkat di pusat tanggungjawab (PTJ). Selain itu, beliau juga berharap supaya semangat kerja berpasukan diamalkan tidak kira jawatan dan jabatan.

“Ini adalah perlu kerana tidak kira apa jawatan sekalipun, semua orang perlu diganti bila tiba masanya, termasuk NC,” kata Omar di perjumpaan bulanan kali ke-7 bagi tahun 2013. 

“Selain itu, sebagai satu pasukan, kerja-kerja setiap staf boleh dilakukan oleh orang lain apabila perlu. Pada hari ini, kita telah melangkah ke setengah tahun yang kedua bagi 2013, diharap rangka kerja yang dicadangkan dapat diteruskan berdasar BUKU 2013 yang dibentang awal tahun dahulu,” tambah beliau yang juga menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan beberapa orang staf baru-baru ini. 

Turut menyampaikan ucapan dan perkongsian ilmu pada majlis yang sama ialah Dekan, Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), Prof. Dr. Rozman Hj Din, Dekan Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF), Prof. Dr. Mohamad Suhaimi Jaafar dan juga Pembantu Perpustakaan, Mazlan Nor.

Rozman mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak di dalam pengurusan jenazah pensyarah PPTI, Nurul Izza Alias yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada hari Khamis lalu.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua terutamanya NC dan isteri, Datin Noraizan Jamaludin yang sempat melawat beliau semasa koma di Hospital Pulau Pinang,” ucap Rozman.

usmhimpun

Bantuan dan penghargaan yang ikhlas ini dipersetujui oleh Mohamad Suhaimi dan mengingatkan kita supaya terus menjalankan tugas dengan ikhlas dan rasa syukur kepada Allah S.W.T.

Menurut Mazlan, banyak pengalaman berharga yang beliau lalui sejak bekerja di perpustakaan pada tahun 1982. Beliau pernah ketinggalan bas pada jam 12.00 tengah malam kerana pulang lewat pada waktu peperiksaan dan dapat merasai dua zaman berbeza iaitu penggunaan sistem pinjaman secara manual dan juga berkomputer.

Perjumpaan bulanan kali ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr See Ching Mey serta staf daripada PPTI, PPSF dan juga Perpustakaan Hamzah Sendut.  Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1822

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024