USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRESIDEN FAM RASMI MINI STADIUM KOPA ARENA USM

USM PULAU PINANG, 20 Februari 2022 – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin hari ini merasmikan Mini Stadium Kopa Arena Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampus Induk universiti itu.
 WhatsApp Image 2022 02 23 at 9.05.03 AM
 
Majlis perasmian padang sintetik yang dibina membabitkan kos bernilai RM5.5 juta oleh syarikat yang menguruskannya itu diadakan di mini stadium berkenaan bersempena kunjungan delegasi FAM ke USM.
 
Ketibaan delegasi FAM itu disambut Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi), Profesor Dr. Md Roslan Hasim yang mewakili Naib Canselor USM.
 
Selain Hamidin, turut bersama delegasi itu adalah dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato’ S. Sivasundaram serta barisan ahli jawatankuasa eksekutif badan induk itu.
 
Hamidin ketika berucap di majlis perasmian itu berkata, pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan dalam sukan bola sepak perlu seiring dengan infrastruktur disediakan.
 
 WhatsApp Image 2022 02 23 at 9.10.03 AM
 
Katanya, kerjasama antara pihak swasta dan USM dalam membina infrastruktur akar umbi termasuk penubuhan akademi di mini stadium itu wajar dicontohi bagi menghasilkan pemain berkualiti pada masa akan datang.
 
“Kunci kepada kejayaan bola sepak negara bermula di peringkat negeri, dengan fasiliti yang baik dan mampu menampung pelbagai program akar umbi termasuk liga tempatan.
 
“Langkah bijak dengan mengadakan kerjasama dengan pihak swasta seperti ini mampu merancakkan lagi program bola sepak di peringkat universiti.
 
“Dengan adanya akademi bola sepak seperti yang diusahakan Kopa Arena dapat menyumbang kepada perintis aset negara yang mana pemain-pemain ini boleh disalurkan ke akademi elit seperti Akademi Mokhtar Dahari, Sri Pahang dan Akademi JDT,” katanya.
 
WhatsApp Image 2022 02 23 at 9.10.06 AM 
Hadir pada majlis perasmian itu, Timbalan Pendaftar Kanan USM yang juga merupakan Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Encik Mohd Azizudin Mohd Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Kopa Arena, Farouk Hashim.
 
Farouk dalam ucapan aluannya berkata, Kopa Arena bakal menjadi pentas akar umbi dan penganjuran di peringkat rekreasi dan pembangunan.
 
“Dengan sokongan daripada FAM dan USM pastinya kami akan mampu menyumbang bakat muda ke pentas lebih tinggi,” katanya.
 
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop / Foto: Mohd Fairus Md Isa
  • Created on .
  • Hits: 711

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024