USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMANDANGAN MENAKJUBKAN YANG TIDAK MUNGKIN DILUPA: DARIPADA PEKEBUN KEPADA PENJAGA ANJUNG JANNATUN

USM PULAU PINANG, 21 Februari 2022 - Di Universiti Sains Malaysia (USM), ada sebuah banglo yang dibina di era kolonial British (1938) terletak di atas bukit yang cukup indah, disertai pemandangan hijau dan ikon Pulau Mutiara iaitu Jambatan Pulau Pinang.
 
Ia dikenali dengan nama Anjung Jannatun dan telah sekian lama menjadi kediaman rasmi untuk Naib Canselor USM. Nama Anjung Jannatun juga diberi bersempena dengan nama Dato’ Jannatun dalam usaha memberi penghormatan tinggi kepada ikon sejarah yang terkenal di kawasan sekitar Batu Uban satu ketika dulu.
 
FE3CF3C7 16EF 4FF4 8DFD 399C5EE689B3
 
Di sebalik keunikan bangunan tinggalan sejarah yang menyimpan seribu rahsia, ada seraut wajah yang cukup menghargai, menyayangi dan tidak dapat melupakan suasana yang disajikan oleh alam sekeliling di kediaman rasmi yang telah didiami oleh pemimpin-pemimpin USM itu.
 
Senyuman sayunya cukup menggambarkan betapa beliau amat menghargai tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya untuk menjadi ‘penjaga’ Anjung Jannatun. Insan yang dimaksudkan adalah tidak lain dari Sivarajoo A/l Palaniandy, pembantu awam di Pejabat Naib Canselor atau lebih mesra disapa sebagai ‘Uncle Siva.
 
Siva yang memulakan kerjayanya bersama USM pada tahun 1986, telah menjadi ‘the guardian’ kepada banglo berkenaan sejak ianya dihuni oleh Naib Canselor (NC) keempat USM, Profesor Dato’ Dr. Ishak Tambi Kechik sehinggalah yang terkini, NC kelapan USM iaitu Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.
 
Siva menjelaskan, beliau pada mulanya agak risau ketika diamanahkan untuk menjaga kediaman pemimpin tertinggi USM itu, namun berbekalkan semangat kerja demi mencari rezeki, beliau menerimanya dengan hati terbuka.
 
Berkat dari kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau, hari berganti hati dan tahun berganti tahun, beliau masih kekal menjadi penjaga Anjung Jannatun.
 
“Tugas saya hari-hari adalah memastikan pintu pagar sentiasa dibuka pada awal pagi, kerana ia adalah waktu di mana keluarga yang menghuni bangunan ini akan memulakan hari mereka. Kemudian, saya juga perlu pastikan aspek kebersihan di segenap ruang di luar kediaman ini berada dalam keadaan terbaik sepanjang masa.
 
92E026E1 5C03 45C4 A41B 87F5CB8472DD
 
“Saya tidak pernah merasa terbeban kerana saya memang minat berkebun sejak dari muda. Kalau diperhatikan, banyak pokok-pokok di sini yang saya tanam dengan hasil keringat dan air tangan sendiri. Namun, sudah pasti saya lakukan atas keizinan dan galakan dari Naib Canselor. Sebagai contoh, beberapa batang pokok Tongkat Ali yang sudah meninggi ini,” katanya yang menunjukkan lebih lima batang pokok berkenaan yang subur meninggi di Anjung Jannatun.
 
Mengulas lanjut katanya, beliau sering menerima biji-biji benih yang diperoleh para NC yang pernah mendiami rumah agam tersebut, sama ada mereka membeli benih-benih pokok di luar atau adakalanya cenderamata yang diberikan rakan taulan mereka.
 
PENGALAMAN TIDAK DAPAT DILUPAKAN
 
Siva juga pernah mengalami situasi aneh yang tidak mungkin dapat dilupakan. Menurut anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini, pernah satu hari ketika beliau sedang leka menjalankan rutin hariannya membersihkan kawasan belakang Anjung Jannatun, beliau didatangi oleh NC pada ketika itu iaitu, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman bersama isterinya, Datin Noraizan Jamaludin dengan membawa seekor ikan yang masih segar.
 
“Mereka tanya saya, macam mana ikan ini boleh ada di tengah-tengah halaman. Saya pun hairan sebab saya baru sahaja menyapu bahagian depan kawasan itu. Di Anjung Jannatun, tiada kolam dan hanya dikelilingi kehijauan. Namun, saya rasakan mungkin ikan itu jatuh ketika dibawa oleh burung-burung. Hanya itu yang mampu saya fikirkan pada ketika itu,” katanya yang masih tidak melupakan perkara berkenaan.
 
8CFF722E 02D8 4E64 B010 125353B19255
 
Selain pengalaman berkenaan, Siva turut mengakui sejak dari awal, ketika mula bertugas di Anjung Jannatun, beliau telah menerima nasihat yang paling bermakna daripada penghuni pada masa itu iaitu Profesor Dato’ Dr. Ishak Tambi Kechik.
 
“Dato’ kata pada saya, awak kerjalah di sini dengan sepenuh hati. Jangan mengharapkan apa-apa dari sesiapa pun. Kerjalah baik-baik demi amanah yang digalas,” katanya.
 
Sejak itu, Siva seakan faham maksud yang tersirat di sebalik nasihat itu. Katanya, mungkin ramai yang beranggapan beliau akan senang kerana berada dekat dengan pegawai tertinggi Universiti dan boleh meminta segala yang dimahu.
 
Beliau turut mengakui, dirinya tidak pernah sesekali mengambil kesempatan atas tanggungjawab yang diberi. Berada dekat dengan pegawai tertinggi USM bukan tiket untuknya mengecap sesuatu dengan mudah. Namun rezeki itu sentiasa datang dalam pelbagai cara.
 
Sepanjang kerjayanya bersama USM juga, Siva telah menerima pelbagai penghargaan termasuk mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) beberapa kali.
 
Beliau turut diuji dengan masalah kesihatan isterinya yang memerlukan rawatan rapi akibat penyakit diabetes, namun berkat kesabaran dan pertolongan dari majikannya pada ketika itu, Siva dan isteri berjaya menempuh ujian berkenaan dengan sebaiknya.
 
Proses perubatan isterinya berjalan dengan lancar dan ia sedikit sebanyak banyak memberi kesan kepada dirinya, khususnya dalam menghargai sumbangan Universiti dan warganya terhadap beliau dan keluarganya.
 
ANJUNG JANNATUN DI MATA SIVA
 
Ketika ditanya perasaanya sewaktu tiba saat untuk meninggalkan tempat kerjanya selepas lebih 25 tahun menjaga Anjung Jannatun, beliau dengan sayunya berkata; “Tempat ini amat istimewa. Ia adalah satu tempat yang indah, angin sentiasa berhembus dan sangat bersemangat untuk bekerja di sini.
 
109FB755 B460 452F A80D 3DEEFD8D969D
 
Pemandangan di atas bukit yang amat mempesonakan adalah antara kenangan yang akan dibawa Siva sampai bila-bila.
 
Beliau juga sempat berpesan, kepada sesiapa pun yang akan ditugaskan di situ kelak haruslah mengambil tanggungjawab itu sebagai satu amanah. Katanya, kepercayaan majikan adalah kunci kepada kejayaan melaksanakan tugas dengan baik dan sempurna.
 
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Nor Amin Zainal Kamarudin
  • Created on .
  • Hits: 833

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024