VETERAN UNIVERSITI MALAYA JUARA “USM EMIRATES CUP” EDISI PERTAMA
PULAU PINANG, 16 Februari 2022 – Hasrat Pasukan Bola Sepak Veteran USM Kampus Induk untuk menjulang “USM Emirates Cup” edisi pertama tidak kesampaian selepas Pasukan Veteran Universiti Malaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan tersebut.
Empat mata berjaya dikumpul daripada dua perlawanan yang ditempuh oleh Pasukan Veteran Universiti Malaya, sudah cukup untuk bergelar juara sulung, manakala tuan rumah, iaitu Pasukan Veteran Kampus Induk berada di tempat kedua dengan perbezaan satu mata sahaja.
“USM Emirates Cup” yang diadakan pada 22 Januari 2022 lalu merupakan sebuah perlawanan bola sepak persahabatan empat penjuru anjuran Pusat Sukan dan Rekreasi USM.
Kejohanan ini melibatkan Pasukan Veteran Kampus Induk, Pasukan Veteran Kampus Kejuruteraan, Pasukan Veteran Kampus Kesihatan, dan Pasukan Veteran Universiti Malaya yang dilangsungkan di Kopa Arena, USM.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan di dalam ucapan perasmian berkata, beliau berasa sangat teruja menanti kejohanan ini dilangsungkan dan berharap segalanya berjalan dengan lancar.
“Tujuan utama kejohanan ini diadakan adalah untuk merapatkan lagi ukhwah bersama semua pihak yang terlibat, serta kita dapat menikmati saat yang diluangkan ini dengan memori bersama," tambah beliau.
Biarpun kejohanan ini dilangsungkan dengan serba sederhana ekoran penularan wabak Covid-19, ia tidak menjadi penghalang untuk kesemua pihak menikmati perlawanan disajikan dengan penuh aksi yang menarik.
Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 438