USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAHULL KEMBALI MEMPERKUATKAN BARISAN SERANGAN SKUAD HOKI NEGARA

PULAU PINANG, 14 Februari 2022 – Usaha serta tahap dedikasi yang tinggi akhirnya membuahkan hasil selepas pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) Universiti Sains Malaysia, Nur Rahull Hrisikesa Mohd Murni Thatchana, sekali lagi berjaya menempatkan diri beliau dalam senarai 28 pemain skuad hoki lelaki senior kebangsaan. 

A805AC2C F866 4AF2 8FCB E3AC5C851A35
Berita tersebut diketahui ramai selepas sebuah pengumuman telah di paparkan menerusi akaun media sosial rasmi Konfederasi Hoki Malaysia minggu lalu.
 
Berikutan perkara tersebut, Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Senior Kebangsaan, A. Arulselvaraj turut menyatakan bahawa kesemua pemain ini dipilih berdasarkan prestasi semasa mereka dan penilaian semula bakal dilakukan sejurus saingan TNB MHL 2022 melabuhkan tirainya.
 
Pencapaian tertinggi beliau bersama Pasukan USM pastinya ketika membantu menjuarai Pesta Hoki Pulau Pinang, di dalam kategori IPT serta dinobatkan sebagai pemain terbaik pada perlawanan akhir.
 
Ditambah pula dengan tahap konsistensi yang cemerlang yang dipamerkan olehnya, Rahull sering diintai oleh beberapa kelab besar di Malaysia, selain pernah dipanggil menjalani latihan pusat negara pada tahun 2020 lalu.
 
Anak kelahiran Pulau Pinang itu juga merupakan pelajar kemasukan khas Program Warga Sukan Sidang Akademik 2018/2019, iaitu saluran pengambilan khas yang diwujudkan pada tahun 2009 oleh USM untuk memberi peluang kepada pelajar atlet yang mewakili negeri atau negara untuk mengikuti program pengajian di kampus. 
 
Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Mohd Rodzuan Yahya ketika ditemu bual berkata, Rahull merupakan seorang individu yang sangat cemerlang dalam menjalankan tanggungjawab beliau sebagai seorang pelajar, biarpun bergelar atlet yang bermain di peringkat tertinggi.

3A842F67 E314 46AB BD5D 5A5C17A5C871

“Harapan pihak universiti menerusi Program Warga Sukan ini adalah untuk memperbanyakkan lagi atlet untuk turut serta, di samping ingin membuang stigma terhadap kebanyakan individu mengenai universiti menjadi tempat terkuburnya karier seseorang atlet itu,” tambah beliau.
 
Tujuan utama program hasil kolaborasi di antara Pusat Sukan dan Rekreasi USM dan Unit Pengambilan Pelajar ini adalah untuk memperkasakan bidang sukan negara, serta sebuah usaha USM bagi melahirkan graduan holistik yang mampu merealisasikan agenda dan wawasan.
 
Berdasarkan data yang terkini, pihak USM telah berjaya mengenalpasti 34 pelajar atlet yang mewakili negeri dan negara dalam pelbagai jenis bidang sukan untuk mengikuti program tersebut.
 
Selain Program Warga Sukan, Unit Pengambilan Pelajar juga telah mewujudkan program khas lain seperti Warga Budaya dan Warga Emas.
 
Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Mohd Rodzuan Yahya dari Pusat Sukan dan Rekreasi USM
  • Created on .
  • Hits: 499

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024