USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

YEE VOON DINOBAT OLAHRAGAWATI MASUM 2019

USM PULAU PINANG, 15 Februari 2022 – Atlit Karate Universiti Sains Malaysia (USM), Khaw Yee Voon telah dinobatkan sebagai Olahragawati 2019 pada Majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), baru-baru ini.
 
Yee Voon, 27, yang juga merupakan pelajar dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan, Perancangan (HBP) USM itu dipilih berdasarkan pencapaiannya mengharumkan nama negara sehingga ke peringkat Asia dalam sukan berkenaan.
WhatsApp Image 2022 02 11 at 10.53.45 AM
Pada majlis penganugerahan yang diadakan di sebuah hotel di Melaka itu, Yee Voon menerima anugerah tersebut, yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi.
 
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Pengarah Pusat Sukan, Idrus Rapie dan Pegawai Tadbir Pusat Sukan, Nasrullah Mohamed Farouk.
 
Antara pencapaian Yee Voon dalam sukan karate adalah memenangi pingat Perak di Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina dalam kategori Wanita Berpasukan Kata.
 
Selain itu, Yee Voon turut pernah memenangi pingat Perak dalam kategori sama di Kejohanan Karate Asia Tenggara dan menyertai beberapa kejohanan di peringkat Asia.
 
Yee Voon ketika ditemui berkata, dia berasa amat bangga apabila segala usaha sepanjang kerjayanya sebagai atlit menerima pengiktirafan dan bersyukur kerana menerima sokongan dari semua pihak.

“Saya akan membuat perancangan tahunan yang rapi supaya masa untuk belajar, latihan dan pertandingan dapat dibahagi dengan baik.
 
“Selain itu, saya akan memastikan saya mempunyai masa rehat yang secukupnya supaya saya dapat memberikan fokus yang sepenuhnya dalam pelajaran, latihan dan pertandingan,” katanya.
WhatsApp Image 2022 02 11 at 10.56.17 AM
 
Ucapan tahniah turut disampaikan Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan di atas anugerah yang diterima Yee Voon itu.
 
Ketika ditanya mengenai perancangan masa depannya dalam sukan karate, Yee Voon berkata, dia berminat untuk terus menyumbang khidmat dalam sukan itu, sekaligus ingin memajukan sukan itu di negara ini.

Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop

  • Created on .
  • Hits: 661

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024