USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, SWCORP METERAI KERJASAMA STRATEGIK PERKASAKAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL

  • USM menjadi universiti awam pertama di Malaysia berkolaborasi dengan SWCorp Malaysia dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
  • Penubuhan Solid Waste Training Centre (SWTC) North Region yang beroperasi di USM Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal.
  • Dijangka memanfaatkan 1,000 bakal graduan USM Kampus Kejuruteraan; mereka akan menjadi kumpulan pertama yang mengikuti program pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
  • Selepas tamat pengajian, bakal graduan akan dianugerahkan 2 sijil (dual certificate) melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

USM PULAU PINANG, 8 Februari 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi universiti awam pertama di negara ini yang menjalin hubungan strategik bersama SWCorp Malaysia, khusus dalam melahirkan pelajar-pelajar yang terlatih dalam bidang pengurusan sisa pepejal untuk masa hadapan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kamaruzaman Umar berkata, bagi menyokong dasar kerajaan dalam pelaksanaan TVET, SWCorp sebagai Industry Lead Body (ILB) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran telah mewujudkan Pusat Latihan Kemahiran dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Katanya, ianya yang turut dikenali sebagai Solid Waste Training Centre (SWTC) North Region kini beroperasi di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, bermatlamat untuk melatih 1,000 bakal graduan USM dalam bidang yang berkaitan.

Program secara Dual Certificate ini membolehkan pelajar-pelajar dianugerahkan dua sijil selepas tamat pengajian iaitu sijil Ijazah Sarjana Muda (mengikut jurusan) melalui pengajian sedia ada di USM dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sidang media selepas Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara SWCorp dengan USM di sini hari ini.

5BAFC803 EDAF 4C8D 9984 EDD8926F9EAE

Dalam majlis berkenaan, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan menandatangan bagi pihak USM manakala SWCorp diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail bin Mokhtar.

Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Dato’ Ts. Haji Zaihan bin Shukri dan Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman bin Dato’ Mokhtar.

Kamaruzaman juga berkata, pelaksanaan inisiatif ini turut bertujuan untuk meningkatkan imej dan memperkasa pekerjaan industri sisa pepejal, seiring dengan perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara maju setanding dengan negara-negara luar.

Dalam pada itu, Faisal Rafiq pula berkata, USM menzahirkan komitmen tinggi untuk menjayakan kerjasama bagi merealisasikan usaha untuk meningkatkan kemahiran dan kelestarian tenaga kerja mahir dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“SKM dan SLDN yang bakal dianugerahkan kepada para peserta pastinya akan memberi nilai tambah kebolehpasaran graduan seiring dengan revolusi industri IR 4.0 ini.

“Lebih-lebih lagi dengan pentauliahan USM sebagai pusat SWTC North Region, banyak kolaborasi pintar yang dapat dijalankan secara bersama seperti program Eco-Campus serta USM zero waste,” tambahnya.

Beliau juga berkata, program ini amat seiring dengan langkah USM untuk memperkasakan pengurusan sistem pepejal dalam kampus secara holistik dan efektif.

“USM teruja dan menzahirkan penghargaan kepada pihak JPK serta pihak SWCorp kerana pelajar USM merupakan kelompok pertama yang bakal mengikuti program pensijilan SKM dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini di negara ini,” katanya.

Yang turut hadir, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Mohd Suffian Yusoff; pengurusan tertinggi USM dan SWCorp, ketua-ketua jabatan serta ahli-ahli Kluster Pengurusan Sisa Pepejal USM.

Teks: Marziana Mohamed Alias 

  • Created on .
  • Hits: 670

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024